PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan tiga rakan yang telah disabitkan dengan kesalahan mengedar 71.5 gram dadah jenis heroin dan monoasetilmorfin.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Mashitah Abdullah, Siti Wan Noorzulaikha Yusof dan Muhammad Luqman Ramli untuk mengetepikan sabitan serta hukuman terhadap mereka yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi.
Dalam penghakimannya, Ruzima berkata sabitan terhadap mereka adalah tidak selamat untuk dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan kerana pendakwaan gagal membuktikan wujud niat bersama dalam kalangan perayu untuk melakukan kesalahan itu.
“Kami mendapati wujud lompang dalam kes pendakwaan kerana mereka gagal membuktikan secara tuntas bahawa wujud jagaan dan kawalan ke atas beg yang mengandungi dadah itu,” katanya yang bersidang bersama-sama Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.
Beliau turut memberikan peringatan dan kata-kata nasihat kepada ketiga-tiga rakan itu.
“Kamu telah mensia-siakan masa muda kamu di penjara. Berhati-hati dengan apa yang dilakukan dan jangan digunakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan mereka," katanya.
Mashitah, 30, Siti Wan Noorzulaikha, 26 dan Muhammad Luqman, 27, sebelum ini didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Jan 2024 mengedar 15.9 gram heroin serta 55.6 gram monoasetilmorfin.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di laluan pejalan kaki Terminal Feri Kuah di Langkawi, Kedah pada 3.30 petang 5 Jun 2017.
Mahkamah Tinggi telah memerintahkan mereka dipenjara 30 tahun dengan Muhammad Luqman turut dikenakan 12 sebatan.
Menurut fakta kes, sepasukan polis yang menjalankan pengawasan di terminal feri itu telah menahan Muhammad Luqman, yang sedang memegang sebuah beg pakaian di sebelah kanan.
Noorzulaikha pula memegang beg itu di sebelah kiri manakala Mashitah berjalan bersama-sama mereka.
Peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Nurul Syamimi Norazlan mewakili Noorzulaikha serta Mashitah manakala Muhammad Luqman diwakili peguam Datuk Naran Singh.
Timbalan Pendakwa Raya Roshan Karthi Kayan hadir bagi pihak pendakwaan.
-- BERNAMA