EKONOMI

MUTIARA PERLIS LABUR RM17 JUTA DALAM PERALATAN KALMAR UNTUK PACU KAPASITI PELABUHAN

22/05/2025 06:54 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Mutiara Perlis Sdn Bhd melabur RM17 juta untuk memperoleh 15 jentera pengendali kontena Kalmar bagi melengkapi Perlis Inland Port (PIP) melalui rakan kongsinya, Mach 1 Group.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad berkata pengambilalihan itu merangkumi enam jentera penyusun, tiga pengendali kontena kosong dan enam traktor terminal. 

"Dengan jentera-jentera Kalmar yang baharu ini, kami mampu mengendalikan dua kali ganda jumlah kargo yang kami uruskan di Padang Besar sekarang ini," katanya pada majlis pemeteraian perjanjian jual beli antara Kalmar, Mach 1 Group dan Mutiara Perlis yang diadakan di sini hari ini.

Katanya, PIP, yang terletak secara strategik di dalam Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand, berpotensi untuk menjadi hab logistik utama yang menghubungkan tiga negara berkenaan.

"Dengan infrastruktur yang lebih kukuh serta sambungan yang lebih baik, kami membayangkan aliran eksport import yang lebih seimbang yang akan memberi manfaat kepada perniagaan tempatan dan serantau yang lebih luas," katanya lagi.

Fasa 1 PIP, yang dijangka siap menjelang Julai 2025, dijangka mengendalikan sehingga 300,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEUs) setiap tahun, lebih daripada dua kali ganda kapasiti 130,000 TEU semasa di terminal kontena Padang Besar.

--BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan