AM

TENGKU AMIR BERKENAN TINJAU RAPTAI PENUH ISTIADAT PERNIKAHAN

29/09/2025 11:53 AM

‎KLANG, 29 Sept (Bernama) -- Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan meninjau raptai penuh istiadat perarakan pernikahan baginda di sini hari ini.  

‎‎Baginda turut berkenan menyertai raptai perarakan tersebut.  

‎‎Perarakan sejauh kira-kira 650 meter bermula dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz hingga ke Istana Alam Shah itu diiringi oleh Rejimen ke-25 Askar Melayu Diraja sebagai jejawat dan paluan kumpulan kompang Istana Diraja Selangor. 

‎ ‎Tengku Amir Shah diarak dengan menaiki kenderaan istana Rolls Royce A1 sebelum sesi diteruskan di Istana Alam Shah bagi raptai istiadat pernikahan, yang dibuat secara tertutup. 

‎‎Sesi hari ini menyaksikan pelepasan dua das tembakan meriam dan difahamkan pada hari kejadian, sebanyak 11 das tembakan akan dilepaskan sebagai simbolik menandakan selesainya istiadat pernikahan.  

‎Turut hadir meninjau persiapan hari ini ialah Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Ahmad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang Datuk Abd Hamid Hussain.  

‎‎Isnin lepas, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan memaklumkan putera baginda Tengku Amir Shah akan melangsungkan pernikahan dengan pasangannya, Afzaa Fadini Abdul Aziz pada 2 Okt ini.

‎‎Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani, istiadat pernikahan itu akan berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.

‎Mohamad Munir berkata Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi memuliakan perkahwinan itu pula akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Okt.

‎-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan