PORT KLANG, 30 Sept (Bernama) -- Stesen Janakuasa Pulau Indah (PIPP) merupakan pelan induk bagi usaha Malaysia membangunkan penyelesaian tenaga lebih cekap dan bersih melalui kerjasama strategik, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Perubahan Tenaga dan Transformasi Air berkata projek berkenaan menjadi model kerjasama erat apabila aspirasi kerajaan Persekutuan selari dengan tindakan negeri, sekali gus memastikan tadbir urus jelas serta menggalakkan perkongsian awam-swasta yang mampan.
“Dengan pemulaan operasi PIPP, kita bukan sekadar menambah kapasiti tenaga baharu. Saya amat yakin langkah ini turut memperkukuh komitmen Malaysia terhadap keselamatan tenaga dan pertumbuhan mampan.
“Loji turbin gas kitaran gabungan berkapasiti 1,200 megawatt (mw) merupakan aset penjanaan paling canggih dan efisien seumpamanya di Malaysia. Ia menjadi satu mercu tanda mencerminkan aspirasi berani negara dalam bidang tenaga serta keyakinan menghadapi landskap global yang pesat berubah,” katanya dalam ucapan perasmian PIPP di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Fadillah berkata peralihan tenaga di Malaysia adalah berpandukan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Saya bangga menyatakan bahawa projek janakuasa Pulau Indah adalah bukti pelaksanaan peralihan tenaga. Ini Fasa 1 NETR yang sedang digerakkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada arang batu, meningkatkan kecekapan dan membina asas kepad acampuran tenaga lebih bersih.
“Loji ini menggunakan teknologi turbin terkini yang mampu menghasilkan pelepasan lebih rendah bagi setiap megawatt, sekali gus mempersiapkan Malaysia untuk memperluas penggunaan tenaga solar, hidro dan hidrogen pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata PIPP merupakan projek usaha sama antara Korea Electric Power Corporation (KEPCO) yang memegang 25 peratus ekuiti, sekali gus mencatat pelaburan pertama Korea Selatan dalam loji janakuasa di Malaysia, mengukuhkan kekuatan sektor tenaga negara serta keupayaan pelaksanaan kerajaan Selangor.
“Saya menggalakkan Worldwide Holdings Berhad (WHB) dan syarikat lain untuk terus meneroka bidang baharu termasuk hidrogen, solar terapung serta perjanjian pembelian tenaga hijau.
“Usaha ini amat penting dalam usaha kita membangunkan ekosistem tenaga seiring dengan tuntutan kelestarian global,” katanya.
PIPP adalah sebuah fasiliti turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti 1,200mw yang terletak di Pulau Indang, dibangunkan dan dimiliki Pulau Indang Power Pland Sdn Bhd, projek usaha sama antara WHB dan KEPCO.
PIPP telah mencapai Tarikh Operasi Komersial (COD) pada 1 Mac lepas di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga selama 21 tahun bersama Tenaga Nasional Berhad dan telah menjana lebih 2,500 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembangunannya.
PIPP dibina di atas kawasan tanah tebus guna seluas 24 hektar bersebelahan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan klang, projek berkenaan secara rasmi tersenarai di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 dan diklasifikasikan sebagai Projek Berimpak Tinggi.
-- BERNAMA