KOTA TINGGI, 2 Okt (Bernama) -- Pendekatan diplomatik dilihat sebagai langkah paling sesuai dan wajar digunakan dalam mengendalikan isu penahanan rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF), bagi memastikan keselamatan dan nyawa mereka terpelihara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pendekatan ketenteraan tidak boleh menjadi pilihan, kerana ia berisiko mengancam keselamatan dan nyawa tahanan yang kini dalam tahanan pihak berkuasa Israel.
“Kalau kita guna saluran ketenteraan, kita jauh. Bagaimana keselamatan dan nyawa mereka yang ditahan? Oleh itu, rakyat perlu faham dan beri sokongan penuh terhadap usaha yang sedang diusahakan oleh Perdana Menteri melalui kaedah diplomasi. Jangan sensasikan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jalinan dan Jaringan Pendidikan Komuniti dan Town Hall Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS)/Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Peringkat Daerah Kota Tinggi di sini hari ini.
Mohamed Khaled menegaskan bahawa Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik secara langsung dengan Israel, justeru usaha rundingan melalui pihak ketiga amat penting dalam memastikan kebajikan serta keselamatan rakyat Malaysia yang terlibat.
--BERNAMA