Oleh Noornasrin Salsabila Othman
KOTA BHARU, 5 Okt (Bernama) -- Daripada helaian kain sarung yang pernah sinonim dengan keanggunan wanita Melayu, kini lahir seni tangan yang menghidupkan semula tradisi apabila bunga telur berbalut corak klasik itu kembali mekar dalam dunia perkahwinan moden.
Di sebalik setiap kelopak yang dilipat dengan teliti itu, berdiri seorang suri rumah, Anis Aiza Shaari, 33, yang menjadikan hasil kraf tangan daripada kain sarung bukan sekadar perhiasan, tetapi cerminan warisan dan ketekunan seorang wanita.
Gabungan klasik dan moden yang memukau pandangan itu menjadikan Anis Aiza kini tidak menang tangan menyiapkan tempahan bunga telur bermotifkan kain sarung yang semakin menjadi pilihan utama pasangan pengantin.
Lepasan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan itu berkata dia mula menghasilkan bunga telur bercorak tradisional sejak dua tahun lepas sebagai inisiatif menjana pendapatan sampingan dari rumah.
“Idea untuk menghasilkan bunga telur bermotifkan kain sarung ini timbul apabila adik ipar saya, Aima Najwa Abdul Rahim, 26, mencari bunga telur bertemakan klasik untuk diagihkan kepada tetamu sempena majlis perkahwinannya pada Julai 2023.
“Namun, selepas usaha mendapatkan rekaan itu tidak berjaya, saya tekad untuk hasilkan sendiri bunga telur tradisional bagi merealisasikan hasrat adik ipar saya pada hari bahagianya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini di Kampung Wakaf Stan, di sini.
Ibu kepada empat cahaya mata itu mengakui, semuanya bermula dengan rasa ingin mencuba. Tanpa pengalaman atau tunjuk ajar, dia hanya berpandukan tutorial di TikTok bagi mempelajari kaedah dan teknik asas pembuatan bunga telur.
“Pada masa itu, kebanyakan bunga telur menggunakan kain songket. Tapi saya nak tampilkan kelainan, kain sarung lebih lembut dan dekat pada hati kita. Hasilnya nampak lebih klasik dan ada jiwa,” katanya.
Anis Aiza berkata proses pembuatan bunga telur itu memerlukan ketelitian dan kesabaran kerana setiap helaian kain perlu digunting, digam dan disusun satu persatu bagi memastikan hasil akhir tampak kemas dan harmoni.
“Langkah pertama adalah membentuk bingkai asas. Kemudian, kain sarung ditekap mengikut bentuk bunga yang diinginkan seperti lili, daisy atau peony. Setiap corak kain memberi karakter berbeza dan itulah yang menjadikan setiap kuntum bunga ini unik,” katanya.
Tambahnya lagi, selepas proses menekap, kain tersebut digam dan digunting dengan cermat sebelum disusun menjadi kelopak bunga yang lengkap.
“Satu persatu saya tampal dan susun sehingga jadi sejambak bunga telur yang indah. Dalam sehari, saya mampu siapkan kira-kira 100 kuntum bunga telur, dibantu kakak ipar saya Nurul Atiqah Abdul Rahim dan adik ipar saya, Aima Najwa,” katanya.
Dia tidak menyangka, niat asalnya membantu menyediakan buah tangan untuk majlis keluarga kini menjadi rutin harian yang membuka pintu rezeki.
“Saya mula terima tempahan selepas muat naik gambar di akaun TikTok saya, cameeeleo. Tak sangka ramai yang minat,” katanya.
Pelanggan boleh memilih sama ada bunga telur diperbuat daripada kain sarung atau songket, pada harga antara RM4.50 hingga RM10.50 bergantung jenis material. Sementara itu, bunga tangan pengantin dijual antara RM100 hingga RM150 setiap satu.
Kini, hasil sentuhan tangan Anis Aiza bukan sahaja mendapat sambutan dari seluruh negeri, malah turut menembusi pasaran Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei, membuktikan seni tradisi tidak pernah lapuk, hanya menunggu sentuhan yang menghidupkannya semula.
“Bagi saya, setiap bunga telur yang siap itu ada doa, ada kasih, dan ada sebahagian hati saya di dalamnya,” katanya.
-- BERNAMA