AM

HSN PAHANG: LIMA JALAN DI KUALA LIPIS DITUTUP TIGA HARI

08/10/2025 07:17 PM

KUANTAN, 8 Okt (Bernama) -- Lima jalan di Kuala Lipis, Lipis akan ditutup selama tiga hari bermula Jumaat (10 Okt) ini sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2025 peringkat Pahang. 

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Ismail Man berkata penutupan akan bermula pada 6.15 pagi Jumaat hingga program selesai pada 12 Okt bagi kelancaran lalu lintas sempena acara sukan yang berlangsung di Dewan Residen, Dataran Orang Kaya Haji dan Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford. 

Beliau berkata laluan terlibat ialan Jalan Lipis-Kechau di simpang lampu isyarat hadapan Hospital Lipis, simpang Tenaga Nasional Berhad, simpang ke Forensik Hospital Lipis, Bulatan Hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis dan Bulatan Jalan Pusat Perniagaan Bukit Residen.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan meletakkan kenderaan di tempat yang sesuai agar tidak menghalang pergerakan lalu lintas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail turut menasihati orang ramai supaya menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Al-Sultan Abdullah untuk ke Bandar Lama dan Bandar Baru Kuala Lipis.

Bagi orang awam yang ingin berkunjung ke Dataran Orang Kaya Haji bagi mengikuti program berkenaan, mereka boleh meletakkan kenderaan di lot parkir di Pusat Perniagaan Bukit Residen, Pusat Perniagaan Makmur, Central Point, Taman Awam Lipis, Bandar Lama Kuala Lipis selain sekitar Hotel Lipis Plaza dan Jalan Bukit Residen.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan