KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) yang bakal diperkenalkan kerajaan bukan sahaja mengurangkan beban kewangan pekerja dan keluarga mereka tetapi juga ke atas sistem kesihatan awam negara, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dari 2018 hingga 31 Ogos lepas, sebanyak 538,000 kes permohonan tuntutan kemalangan pekerja telah diterima dan daripada jumlah itu, hampir 27,000 kes tuntutan ditolak.
Beliau berkata 87 peratus daripada kes yang ditolak disebabkan kes-kes berkenaan bukan dikategorikan sebagai bencana kerja, menyebabkan Orang Berinsuran (OB) dan Orang Tanggungan (OT) tidak layak menerima sebarang faedah.
"Keadaan ini sudah tentu bukan sahaja memberi kesan kewangan kepada pekerja dan keluarga mereka malah terus memberi tekanan kepada sistem kesihatan awam negara. Contohnya laporan audit baru-baru ini menunjukkan tunggakan bil perubatan setakat 31 Dis 2024 telah mencecah RM360 juta,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang ingin tahu perancangan kerajaan bagi melaksanakan perlindungan keselamatan sosial 24 jam sehari kepada semua pekerja termasuk mereka yang bekerja secara syif, sambilan dan pekerja gig.
Sim berkata, bagi menangani cabaran itu, pelaksanaan SKBBK di bawah PERKESO akan memberikan perlindungan 24 jam kepada pekerja yang layak semasa tempoh penggajian termasuk perlindungan bagi kemalangan pada waktu kerja yang tidak berkait langsung dengan penggajian atau pekerjaan.
"Dengan pelaksanaan SKBBK ini kelak, bayaran bil perubatan pencarum yang mengalami kemalangan bukan bencana kerja akan ditanggung oleh PERKESO,” katanya.
Mengulas mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 pula, Sim berkata skim yang lebih baik akan ditawarkan kepada pekerja gig yang sebelum ini hanya mendapat perlindungan apabila telah membuat caruman.
"Selepas adanya RUU Pekerja Gig kita bagi perlindungan dulu, maksudnya dia (pekerja dianggap) sudah daftar sebagai pekerja gig walaupun belum bayar satu sen pun kepada PERKESO, kita ambil sebagai sudah bayar dan beri perlindungan penuh," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang ingin tahu sejauh manakah pekerja dalam sektor ekonomi gig dilindungi Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 memandangkan pekerja hanya akan mendapat perlindungan sekiranya mencarum secara aktif.
-- BERNAMA