KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Kerajaan bersetuju secara prinsip dengan beberapa penetapan dasar untuk menambah baik struktur Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB), termasuk menjadikannya sebagai sebuah pertubuhan perbadanan atau body corporate.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata penetapan dasar itu yang dipersetujui Kabinet pada 1 Ogos lepas, akan meningkatkan akauntabiliti LPQB, yang antara lain mewajibkan lembaga itu mengemukakan laporan aktiviti tahunannya di Parlimen.
Selain itu, beliau berkata keahlian LPQB akan ditambah supaya lebih inklusif dengan meningkatkan perwakilan daripada pelbagai pihak berkepentingan dalam profesion undang-undang, antaranya Majlis Peguam Malaysia, kakitangan akademik daripada fakulti undang-undang institusi pengajian tinggi swasta dan pengamal undang-undang dari Sabah dan Sarawak.
Kulasegaran turut memaklumkan jawatan Timbalan Pengerusi LPQB akan diwujudkan dan lembaga itu juga dikehendaki untuk bermesyuarat sekurang-kurangnya enam kali setahun.
“Diharapkan dengan penambahbaikan ini, LPQB akan menjadi lebih efektif dan efisien dalam menjalankan fungsi tugas-tugas berhubung kelayakan kemasukan dalam profesion undang-undang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput), yang ingin tahu tindakan sedang diambil kerajaan untuk merombak dan menambah baik LPQB, yang antara lain gagal menjalankan tanggungjawab statutorinya di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 (Akta 166) sejak 1985.
Mengenai isu LPQB yang dikatakan tidak menjalankan tanggungjawab statutorinya di bawah Akta 166, Kulasegaran berkata perkara itu merujuk kepada keputusan lembaga itu, untuk tidak lagi membenarkan pendaftaran bagi kerani berartikel atau articled clerkship.
Beliau berkata LPQB telah mengemukakan justifikasi untuk tidak membenarkan pendaftaran bagi kerani berartikel, termasuk tiada infrastruktur yang tersedia untuk menjalankan kursus kerani berartikel dan terdapat laluan yang mencukupi untuk melayakkan pelajar undang-undang menjadi peguam bela dan peguam cara di Malaysia.
“Pada Mac 2025, Lembaga Kelayakan telah mengemukakan cadangan untuk pertimbangan kerajaan bagi meminda Akta 166, untuk memansuhkan peruntukan berkaitan dengan kerani berartikel. Cadangan tersebut pada masa ini berada dalam penelitian terperinci BHEUU JPM (Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri),” katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut), yang membangkitkan persoalan sama ada LPQB telah benar-benar melanggar fungsinya secara rasmi, Kulasegaran berkata kegagalan lembaga itu melaksanakan program kerani berartikel sejak 1985, meskipun termaktub dalam Akta 166, adalah satu kecuaian yang tidak boleh dipandang ringan.
Beliau berkata walaupun LPQB telah melaksanakan pelbagai fungsi lain yang diperuntukkan, tindakan menghentikan kerani berartikel tanpa keputusan rasmi kerajaan, telah menimbulkan implikasi undang-undang yang serius.
“Pada 1985, LPQB telah mencadangkan kepada kerajaan untuk menghapuskan articled clerkship. Tetapi kerajaan pada masa itu tidak memberi apa-apa pandangan mereka.
“Selepas itu, lembaga itu dengan tersendirinya tidak menjalankan tugas untuk mengadakan articled clerkship. Itu pada pandangan saya adalah satu kecuaian mereka,” katanya.
Pada Selasa (7 Okt), Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa LPQB telah bertindak melangkaui kuasanya, apabila memansuhkan latihan amali profesional dalam bidang itu atau program kerani berartikel.
Program itu yang dilaksanakan di bawah peruntukan Akta 166, menyediakan laluan kepada individu untuk menjadi peguam tetapi tidak mengikuti pengajian undang-undang secara sepenuh masa di institusi pengajian tinggi.
-- BERNAMA