KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) giat mempertingkatkan usaha untuk melonjakkan kedudukannya daripada sebuah institusi serantau kepada peneraju global, sekali gus mempromosikan Malaysia sebagai hab pilihan bagi timbang tara antarabangsa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan aspirasi itu selari dengan teras utama kerangka Malaysia MADANI, iaitu menjadikan AIAC bukan sekadar badan serantau tetapi sebuah institusi diiktiraf dunia serta hab timbang tara utama di peringkat global.
"Visi kita jelas... untuk memposisikan AIAC bukan hanya sebagai institusi serantau tetapi sebagai peneraju global dan hab timbang tara pilihan dunia,” katanya ketika menyampaikan ucapan khas pada majlis pembukaan Minggu Penyelesaian Pertikaian Alternatif Asia (ADR ASIA) 2025 bertemakan “Kairos: Seizing the ADR Moment”, di sini, hari ini.
Beliau berkata pencapaian ini mencerminkan kesepakatan untuk membina ekosistem yang tangkas, dinamik dan berteraskan peraturan bagi menyokong kemajuan ekonomi serta pertumbuhan mampan.
"Mari kita manfaatkan peluang ini bersama untuk memperkasa institusi, meningkatkan piawaian dan membentuk masa depan di mana Malaysia dan ASEAN muncul sebagai peneraju dalam penyelesaian pertikaian yang adil, cekap dan inklusif,” katanya.
Minggu ADR ASIA 2025 dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
-- BERNAMA