DUNIA

RINGGIT DITUTUP RENDAH SEDIKIT BERBANDING DOLAR AS

09/10/2025 07:25 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS pada Khamis apabila Indeks Dolar AS (DXY) kekal tinggi, dengan para peniaga dan pelabur terus mengambil pendekatan berhati-hati di tengah-tengah ketidakpastian berhubung penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.2145/2185 berbanding dolar AS daripada paras 4.2140/2195 pada Rabu.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS Jerome Powell akan menyampaikan ucapannya malam ini yang dijangka menjelaskan bagaimana Fed melihat risiko terhadap pertumbuhan berikutan penutupan berterusan kerajaan.

Dalam keadaan itu, beliau berkata USD/MYR dijangka kekal dalam dagangan jajaran kecil antara RM4.21 dan RM4.22.

"Mata wang serantau juga ditutup bercampur-campur, membayangkan kurangnya keyakinan dalam kalangan peniaga. Justeru, Belanjawan 2026 sepatutnya dapat membantu menyokong ringgit kerana kerajaan dijangka mengekalkan pendiriannya untuk mengurangkan jurang belanjawan lebih rendah tahun depan," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit ditutup kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding euro kepada 4.8988/9044 daripada 4.8941/9005 pada Rabu, turun berbanding yen Jepun kepada 2.7625/7653 daripada 2.7559/7596, namun meningkat berbanding pound British kepada 5.6420/6473 daripada 5.6501/6575.  

Ringgit ditutup bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain. 

Unit tempatan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9323/9505 daripada 12.9506/9739 pada Rabu dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.23/7.24 daripada 7.27/7.28.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2534/2568 daripada 3.2503/2548 sebelumnya, dan hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 254.3/254.7 daripada 254.2/254.7.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan