JENAYAH & MAHKAMAH

24 WARGA ASING DITAHAN DALAM OPERASI BERSEPADU IMIGRESEN, JPJ DI GUA MUSANG

10/10/2025 12:28 AM

KOTA BHARU, 9 Okt (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia Kelantan menahan 24 warga asing dalam Operasi Bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Stesen Penguatkuasa JPJ Mentara, Gua Musang, semalam.

Pengarahnya Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata operasi bermula pada 8 pagi itu melibatkan 40 pegawai penguat kuasa daripada kedua-dua agensi dan dilaksanakan hasil risikan serta pemantauan rapi di kawasan berkenaan.

Beliau berkata siasatan mendapati modus operandi warga asing berkenaan menggunakan perkhidmatan bas awam bagi mengelak diperiksa dan ditahan pihak berkuasa. 

Mereka yang ditahan itu terdiri lelaki warga Bangladesh, India, Pakistan, Indonesia serta Myanmar.

“Turut ditahan wanita warga Indonesia, India dan Bangladesh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua yang ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 57(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, dan kini ditempatkan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan