JOHOR BAHRU, 10 Okt (Bernama) -- Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIlSe) diperluaskan kepada laluan motosikal di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bermula 15 Okt.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata ia melibatkan tujuh laluan keluar pengguna motosikal di CIQ BSI dan empat di KSAB.
“Melalui peluasan ini, pengguna motosikal boleh menikmati urusan imigresen lebih cepat dan mudah dengan pilihan dua sistem yang memiliki fungsi sama dan cepat iaitu MyNIISe dan MyBoarderPass,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Beliau berkata transformasi digital itu memastikan proses rentas sempadan lebih efisien, selamat dan mesra pengguna.
MyNIISe merupakan aplikasi rasmi Jabatan Imigresen Malaysia yang menyatukan pelbagai kemudahan imigresen secara digital dalam satu platform dan boleh dimuat turun menerusi Apple App Store, Google Play serta Huawei AppGallery.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan percubaan sistem itu di CIQ BSI dan KSAB dari 22 Sept sehingga 28 Feb tahun depan.
Sepanjang tempoh percubaan, sistem kod QR dan aplikasi MyBorderPass sedia ada masih diteruskan.
Sistem MyNIISe merupakan antara inisiatif utama di bawah agenda reformasi kerajaan, dengan pelaksanaannya dipercepatkan daripada jadual asal iaitu Mac 2026.
-- BERNAMA