AM

PERPATIH FEST 2025 CIPTA REKOD MBR, PENGANJURAN FESTIVAL ADAT PERPATIH PALING LAMA

10/10/2025 03:55 PM

SEREMBAN, 10 Okt (Bernama) -- Program Perpatih Fest 2025 bertemakan ‘Adat Dihayati Warisan Dilestari’ menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBR) menerusi Penganjuran Festival Adat Perpatih Paling Lama di negara ini.

Festival Adat Perpatih memasuki tahun ke-25 itu mula dianjurkan pada 2000 oleh kerajaan Negeri Sembilan melalui Lembaga Muzium Negeri sebagai usaha memelihara dan mempromosikan warisan Adat Perpatih.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata program itu penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya dalam kalangan generasi muda, tentang kepentingan memelihara dan mempertahankan warisan budaya.

“Menerusi usaha ini diharapkan semua masyarakat dapat memahami dengan lebih jelas tentang keunikan Adat Perpatih melalui pelbagai bentuk keilmuan.

“Lembaga Muzium Negeri selaku agensi bertanggungjawab perlu memastikan warisan sejarah dan budaya Adat Perpatih dipelihara menerusi pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti bersama luak-luak beradat agar dapat dimanfaatkan oleh masyarakat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Adat Perpatih Fest 2025 di Pekarangan Muzium Negeri Sembilan hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Adat Istiadat Melayu, Teknologi, Inovasi dan Digital Datuk Mohd Faizal Ramli dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri  Aziz Mohd Gorip.

Perpatih Fest 2025 berlangsung di Muzium Negeri sehingga Ahad ini menyediakan pelbagai aktiviti antaranya reruai Luak Beradat di Negeri Sembilan, demonstrasi dan jualan masakan luak, kraf tangan masyarakat Cina dan India, karnival kebudayaan Orang Asli, karnival masakan rentas negeri, pertandingan permainan tradisional dan persembahan kesenian dan kebudayaan (Malam Gala Perpatih).

Dalam perkembangan lain, Aminuddin turut mengarahkan Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pendidikan negeri mengambil tindakan segera bagi memantau penularan kes influenza di negeri berkenaan.

Beliau berkata tahap kesihatan pelajar, khususnya pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi perlu diberi perhatian khusus.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan