AM

PM ANWAR BENTANG BELANJAWAN 2026 DI DEWAN RAKYAT

10/10/2025 04:43 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Rakyat pada 4.05 petang.

Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan belanjawan itu di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan serta laman YouTube Parlimen.

Belanjawan ini ialah pembentangan kali keempat oleh Kerajaan MADANI pimpinan beliau, dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, sekali gus menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat menerusi laman sesawang Parlimen, Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 akan dibahaskan pada Peringkat Dasar selama lapan hari oleh Ahli-Ahli Parlimen selepas dibentangkan hari ini.

Seterusnya, sesi penggulungan oleh kementerian akan berlangsung dari 29 Okt hingga 4 Nov diikuti perbahasan pada Peringkat Jawatankuasa dari 5 hingga 27 Nov untuk kelulusan Dewan Rakyat.

Menerusi hantaran di Facebook pagi tadi, Anwar memaklumkan belanjawan itu bukan sekadar angka dan perbelanjaan, tetapi hala tuju untuk memastikan kerajaan terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara.

Terdahulu, Perdana Menteri tiba bersama-sama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di lobi Dewan Rakyat pada 3.50 petang diiringi Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan