AM

EKONOMI MALAYSIA KEKAL KUKUH, PERTUMBUHAN DIJANGKA CAPAI 4.8 PERATUS TAHUN INI - PM

10/10/2025 04:23 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan antara empat hingga 4.8 peratus tahun ini, dan antara empat hingga 4.5 peratus pada 2026.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, dalam prakata Tinjauan Ekonomi 2026 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan hari ini, memaklumkan prestasi pertumbuhan ekonomi untuk separuh pertama tahun ini berkembang sebanyak 4.4 peratus, mengatasi banyak negara serantau yang turut merasai bahang kejutan tarif.

“Pertumbuhan ini juga bersifat menyeluruh dengan isi rumah kekal berbelanja dengan yakin, pelaburan awam dan swasta terus meningkat, sektor pelancongan terus rancak malah aktiviti pembinaan giat berjalan.

“Pada masa sama, kelangsungan hidup rakyat lebih terpelihara dengan kadar pengangguran mencatat paras terendah dalam tempoh sedekad, inflasi kekal rendah sementara ringgit muncul antara mata wang paling berdaya tahan di rantau ini… kendatipun sistem perdagangan global kian perlahan, pengeksport kita tetap menyesuaikan diri sambil mengekalkan pekerjaan dan daya saing,” katanya

Beliau berkata walaupun dunia menempuh pelbagai cabaran hebat, Malaysia tidak boleh memilih jalan mudah demi kelegaan sementara kerana rakyat sudah lama menunggu untuk pembaharuan sebenar dan untuk itu, kerajaan perlu menyeimbang risiko luar dengan keperluan mengatasi cabaran struktur yang lama membelenggu negara.

Mengenai Belanjawan 2026, Anwar berkata ia merupakan edisi keempat dalam siri Belanjawan MADANI dan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang menandakan peralihan daripada proses reformasi kepada era transformasi dengan pemulihan segera digantikan dengan pembaharuan jangka panjang. 

Perdana Menteri berkata pelaburan strategik yang digariskan di bawah RMK13 menyantuni dua tonggak Ekonomi MADANI iaitu "menaikkan siling" potensi negara dan "menaikkan lantai" kesejahteraan rakyat.

“Ikhtiar ini dirangka untuk memacu pertumbuhan, menjulang peranan Malaysia dalam rantaian bekalan global dan memperkukuh modal insan anak watan... dengan ini, rakyat boleh menikmati gaji yang lebih baik, peluang mobiliti sosial yang tulen dan mutu kehidupan yang lebih tinggi. 

“Dengan RMK13, Malaysia akan memperluas kepakaran dalam sektor pertumbuhan dan nilai yang tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh baharu. Wawasan ini adalah untuk melonjakkan negara ke barisan hadapan pemain teknologi dunia sekali gus memampankan kemakmuran untuk generasi akan datang,” katanya. 

Sementara itu, berdasarkan Laporan Tinjauan Ekonomi 2026, pencapaian daya saing Malaysia meningkat dengan ketara sejak 2024 iaitu melonjak 11 anak tangga kepada kedudukan ke-23 dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) yang dikeluarkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) 2025. 

Anwar berkata kerajaan kini berusaha mencapai kedudukan 12 teratas dalam daya saing global menjelang 2033 dengan mempelbagaikan perdagangan, mengukuhkan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) serta penambahbaikan peraturan, tadbir urus dan kesiapsiagaan.

Beliau berkata laporan itu jelas menunjukkan hala tuju strategik negara yang tetap mampu mara dengan daya tahan, keanjalan serta keyakinan meskipun berdepan pelbagai cabaran.

“Tatkala kita bersiap menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 dan menamatkan tempoh Kepengerusian ASEAN, kita melangkah dengan tekad baharu menempatkan Malaysia sebagai jambatan serantau, rakan yang dipercayai dalam kalangan negara Selatan Global serta pendukung pertumbuhan yang lebih adil dan lestari,” katanya.

Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi itu, Malaysia turut mencatatkan peningkatan dalam skor Indeks Pembangunan Manusia (HDI) kepada 0.819 pada 2025 dan menduduki tangga ke-67 pada peringkat global daripada aspek pembangunan insan. 

Turut dinyatakan pelaburan berterusan dalam penjagaan kesihatan dan pendidikan serta pengurangan ketidaksamaan terus menjadi keutamaan bagi meletakkan negara dalam kelompok 25 teratas HDI.

“Pada 2024, bahagian pampasan pekerja (PP) mencatat 33.6 peratus  iaitu di bawah sasaran 45 peratus. Inisiatif seperti Dasar Gaji Progresif dan peningkatan kemahiran juga akan terus diberikan keutamaan dalam meningkatkan pertumbuhan produktiviti bagi merapatkan jurang ini,” menurut laporan itu.

Laporan itu juga memaklumkan bahawa penyertaan wanita dalam pasaran buruh meningkat daripada 56.2 peratus pada 2023 kepada 56.5 peratus pada 2024 dan pertambahan tersebut didorong oleh faktor perluasan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dengan harga berpatutan serta aturan kerja fleksibel.

Selain itu, pelaksanaan program peningkatan kemahiran dan latihan semula turut menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian kadar penyertaan tenaga buruh wanita sebanyak 60 peratus.

Laporan itu turut memaklumkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) kekal di tangga ke-57 dengan skor 50 pada 2024, dan Malaysia perlu mencatat skor antara 68 hingga 70 bagi mencapai kedudukan 25 teratas CPI menjelang 2033 seperti dinyatakan dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024-2028 (NACS).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan