SUKAN

SKUAD PENYU UJI KEKUATAN DI THAILAND SEBELUM BERTEMU KUCHING CITY FC

10/10/2025 04:41 PM

KUALA NERUS, 10 Okt (Bernama) -- Perlawanan amal menentang Songkla FC dianggap medan pemantapan terbaik buat Terengganu FC (TFC) sebelum berdepan Kuching City FC pada aksi suku akhir Piala FA, 18 Okt ini.

Ketua jurulatih TFC Badrul Afzan Razali berkata pasukan itu menerima jemputan Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Songkhla untuk aksi amal antarabangsa menentang kelab Thailand itu di Stadium Tinsulanonda, malam esok.

Menurutnya, selain Songkla FC, skuad Penyu turut dijadualkan bertemu dua lagi kelab gergasi Thailand, Buriram United dan BG Pathum United, sebagai persiapan menghadapi cabaran lebih besar.

“Perlawanan amal ini akan menjadi medan terbaik untuk TFC memperkemas pasukan menjelang pertemuan penting dengan Kuching City FC.

“Saya tekankan kepada pemain supaya turun dengan mentaliti perlawanan sebenar untuk menimba pengalaman, memperhalusi taktikal dan meningkatkan intensiti permainan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Badrul Afzan mengakui pasukannya berdepan kekangan apabila turun tanpa empat tonggak utama, namun tetap optimis TFC mampu mencipta keputusan positif di pentas antarabangsa.

Menurut beliau, penjaga gol utama Suhaimi Husin serta dua pertahanan, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili dan Muhammad Azam Azmi Murad, tidak dapat menyertai pasukan kerana tugasan bersama skuad Harimau Malaya bagi kempen kelayakan Piala Asia 2027.

“Seorang lagi pemain import baharu di posisi pertahanan, Kyaw Min Oo, turut kembali ke Myanmar untuk menyertai pasukan kebangsaan.

“Walaupun tanpa empat pemain utama, saya yakin barisan yang ada mampu membawa pulang sesuatu dan mengharumkan nama TFC di pentas antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan