KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Selangor Aviation & Technology Innovation Sdn Bhd (Selati) berhasrat untuk memainkan peranan utama dalam usaha merapatkan jurang teknologi dan kemahiran dalam ekosistem aeroangkasa negeri itu, menerusi kerjasama strategik dengan rakan global dan tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Selati Zannifa Azura Ahmad berkata ini adalah kerana, meskipun lebih 60 peratus ekosistem aeroangkasa negara berpusat di Selangor, namun masih terdapat kekurangan dari segi teknologi dan tenaga mahir.
“Jika diserahkan kepada sektor swasta semata-mata, jurang ini akan berterusan. Selati ditubuhkan sebagai agensi negeri bagi merapatkan jurang itu dengan membawa masuk standard global dan menyesuaikannya bersama pemain tempatan.
“Usaha itu termasuklah pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan serta penyetempatan rantaian bekalan dan vendor. Apabila berlaku penyetempatan teknologi, ia akan memacu ekosistem baharu dari segi bakat dan bekalan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.
Zannifa Azura berkata bagi merealisasikan hasrat itu, Selati telah memeterai memorandum kerjasama (MoC) dengan tiga rakan strategik.
Mereka ialah Pusat Kecemerlangan AI China-ASEAN (CAICC) di Nanning, Institut Penyelidikan ASEAN China Commservis Guangxi untuk Bandar Pintar dan Pembangunan Infrastruktur Digital selain pemain tempatan, Prima Alam Technologies Sdn Bhd (PrimaAlamTech).
“MoC ini penting kerana ia bukan sahaja berkaitan teknologi, malah mempunyai elemen penjanaan pendapatan dan pembangunan bakat tempatan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata isu pembiayaan turut diberi perhatian, apabila beberapa institusi kewangan tempatan bersetuju untuk mengguna pakai Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan masing-masing bagi membangunkan model baharu dalam membiayai pembangunan rantaian bekalan tempatan.
“Kami tidak boleh melihat perkara ini hanya projek demi projek. Ia mesti dilihat secara holistik dan menyeluruh. Itu objektif Selati,” katanya.
Beliau berkata Selati yang ditubuhkan pada 2019 kini giat digerakkan selaras dengan pembangunan Selangor KLIA Aeropolis (Selangor Aeropark) yang sedang dilaksanakan.
Fasa pertama pembangunan Selangor Aeropark melibatkan kawasan seluas 220 hektar (545 ekar), dengan 80 hektar (200 ekar) telah dibersihkan untuk pembangunan dan daripada jumlah itu, 40 hektar (100 ekar) diperuntukkan kepada penyewa utama, GE Aerospace.
“Pembinaan dijangka siap pada separuh pertama 2027. Kelulusan projek kini dipercepatkan melalui inisiatif ‘Speed Selangor’ yang membolehkan proses selesai dalam 14 hingga 30 hari,” katanya.
Dalam aspek pembangunan modal insan, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) turut menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Industri Aeroangkasa Nasional Malaysia (NAICO) bagi penubuhan Pusat Latihan MyAero di kawasan Selangor Aeropark, dan SELATI bertanggungjawab menyokong bagi melengkapkan inisiatif sedia ada melalui pemanfaatan inovasi teknologi.
“Selati bukan penggubal dasar tetapi rakan kongsi penyampaian projek negeri. Kami mahu memastikan pembangunan bakat tempatan berjalan seiring dengan kemajuan teknologi dalam sektor aeroangkasa dan AI,” katanya.
Beliau berkata visi jangka panjang Selati adalah mewujudkan platform teknologi yang boleh dimanfaatkan merentas pelbagai sektor termasuk pengurusan bencana, bandar pintar dan pendigitalan industri.
“Kerajaan negeri melabur sekali, bina sekali tetapi aplikasinya pelbagai. Daripada sektor aeroangkasa, kepada bandar pintar, hinggalah kepada sistem pencegahan bencana. Itulah yang ingin kami capai,” katanya.
-- BERNAMA