AM

PROGRAM ANAK EMAS DAPAT SAMBUTAN MENGGALAKKAN, CATAT LEBIH RM700,000 SIMPANAN

10/10/2025 06:31 PM

BUTTERWORTH, 10 Okt (Bernama) -- Program Anak Emas hasil kerjasama strategik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Kerajaan Pulau Pinang mendapat sambutan memberangsangkan, dengan 7,771 akaun dibuka atau dibuat penambahan simpanan berjumlah RM777,100 dalam tempoh 15 Jan 2024 hingga 30 Sept lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang Lim Siew Khim berkata dalam tempoh itu, terdapat 29,678 kelahiran di seluruh Pulau Pinang, menunjukkan hampir 26 peratus keluarga mula melabur untuk masa depan pendidikan anak-anak mereka.

Beliau berkata lebih membanggakan, sehingga Ogos lepas, jumlah keseluruhan deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) di Pulau Pinang mencecah RM2.63 bilion dengan lebih 370,000 akaun dibuka.

“Ini bukti nyata masyarakat Pulau Pinang semakin celik kewangan dan memahami pentingnya menabung untuk pendidikan anak-anak,” katanya pada majlis sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime dan Barangan Bayi sempena Program Anak Emas di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) Datuk Ong Bee Leng dan Pengarah HSJ Dr S. Shameni.

Lim berkata Program Anak Emas diperkenalkan kerajaan negeri pada Jun 2011 dengan bantuan secara sekali beri berjumlah RM200 kepada bayi berumur dua tahun ke bawah sebelum ditambah baik menerusi kolaborasi bersama PTPTN mulai 15 Sept 2024 dengan RM100 diberikan untuk pembukaan akaun atau penambahan deposit akaun Simpan SSPN Prime, manakala RM100 lagi dikreditkan ke dalam akaun bank pemohon yang layak.

Beliau berkata syarat untuk memohon Program Anak Emas adalah anak mesti warganegara Malaysia, pendaftaran dilengkapkan sebelum anak berumur dua tahun dan ibu atau bapa kepada anak yang dilahirkan mestilah berdaftar dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pengundi di Pulau Pinang.

“Kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan PTPTN dalam memperkukuh Program Anak Emas adalah langkah bijak dan berpandangan jauh kerana ia bukan sekadar meringankan beban kewangan ibu bapa tetapi juga mendidik masyarakat tentang kepentingan perancangan kewangan serta tabiat menabung yang konsisten,” katanya.

Terdahulu, PTPTN memberikan sumbangan RM10,000 untuk 50 kelahiran bayi baharu pada Oktober lepas melibatkan pembukaan atau penambahan akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM100 selain pemberian hamper barangan bayi bernilai RM100 kepada setiap penerima.

Sementara itu, Norliza berkata Simpan SSPN adalah produk simpanan PTPTN yang menawarkan pelbagai manfaat termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak dan kadar dividen kompetitif di samping simpanan dijamin kerajaan serta patuh syariah.

Beliau berkata sejak diperkenalkan pada 2004 hingga 30 Ogos lepas, deposit Simpan SSPN yang diterima berjumlah RM22.31 bilion dengan 7.09 juta akaun telah dibuka.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan membuat permohonan Program Anak Emas boleh melayari isejahtera.penang.gov.my.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan