AM

BELANJAWAN 2026: PASUKAN STAR DIPERUNTUK RM25 JUTA UNTUK TUMPU USAHA PENDIGITALAN, INOVASI BAHARU - PM ANWAR

10/10/2025 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) menerima RM25 juta di bawah Belanjawan 2026 untuk menumpukan usaha pendigitalan menyeluruh dalam urusan rakyat selain mempercepat pembangunan infrastruktur dan inovasi baharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata agenda reformasi yang digerakkan menerusi STAR ini berjaya menyelaras lebih 1,000 projek atau program dan menjimatkan kos pematuhan hingga RM1.1 bilion dan antara sebab negara melonjak 11 anak tangga dalam Indeks Daya Saing Dunia. 

"Pasukan STAR membuktikan pembaharuan tatakelola dapat dilaksanakan segera tanpa perlu melantik perunding luar.

"Pasukan STAR membuktikan pembaharuan tatakelola dapat dilaksanakan segera antaranya tanpa perlu melantik perunding luar," kata Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini

Menteri Kewangan berkata MyDigital ID menyasarkan 15 juta pengguna menjelang akhir tahun ini dengan ikhtiar itu akan diperluas ke sektor utama seperti kewangan, telekomunikasi, e-dagang dan kesihatan.

"Melalui kepakaran dalaman, Unit Govtech Malaysia diperkasakan untuk membangunkan lebih banyak aplikasi digital kerajaan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata Kiosk MADANI akan dibangunkan di semua negeri secara berperingkat kerana ikhtiar berkenaan memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan kerajaan di luar waktu pejabat.

"Tiga Kiosk MADANI telah ditempatkan di Lembah Klang dan dua lagi menyusul di Pulau Pinang dan Johor.

Anwar berkata RM76.6 juta disediakan bagi meningkatkan mutu prasarana Pusat Transformasi Bandar (UTC) supaya lebih mesra rakyat dan mudah diakses dan UTC ke-24 di Seberang Perai akan diluncurkan November ini.

Mengiktiraf peranan besar perkhidmatan luar negeri yang membawa nama baik Malaysia, beliau berkata kerajaan memastikan diplomat kita di perantauan dibekalkan dengan pejabat kedutaan yang lengkap, selesa dan selamat.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata RM31.5 juta disediakan untuk menyelenggara dan mengganti aset-aset kedutaan yang rosak, seperti di Pejabat Perwakilan Wellington dan Singapura.

Anwar berkata Ikhtiar Perkhidmatan Bergerak MADANI menerima lebih RM110 juta bagi memastikan masyarakat desa dan pedalaman mendapat perkhidmatan kerajaan secara terus.

“Umpamanya penuntut universiti awam bidang sains, kejuruteraan, perubatan dan kejururawatan turun ke kampung-kampung memberi khidmat dukungan kepada rakyat seperti pembaikan, saringan kesihatan dan pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) di sekolah.

"Perkhidmatan Komuniti Bergerak Sabah dan Sarawak diperluas ke 19 kawasan baharu, termasuk Kampung Karamuak, Sabah dan Telang Usan, Sarawak," katanya.

Beliau berkata Bank Simpanan Nasional (BSN) menambah empat bank bergerak, menjadikan 20 unit bagi memudahkan rakyat pedalaman Sabah, Sarawak, Pahang dan Perak, khususnya lebih satu juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

"Mahkamah bergerak diperluas meliputi Mahkamah Buruh Bergerak dan Mahkamah Kanak-kanak Bergerak yang menyediakan bilik saksi mesra kanak-kanak, serta kenderaan ubah suai sebagai bilik bicara serba lengkap," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan