KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu hadir ke Dewan Rakyat hari ini bagi mendengar pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun sedang bercuti sakit.
Setiausaha Akhbarnya, Adeysham Nor memaklumkan bahawa Mohamad berpendapat pembentangan belanjawan adalah acara penting yang hanya berlangsung sekali setahun, dan melibatkan kepentingan seluruh rakyat khususnya sektor pertanian serta keterjaminan makanan negara.
Bagaimanapun, beliau berkata Mohamad terus pulang untuk berehat di rumah sejurus selepas pembentangan belanjawan itu seperti yang dinasihatkan oleh doktor.
“Menteri juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas doa, ucapan selamat serta sokongan yang diberikan oleh semua pihak sepanjang tempoh pemulihan beliau,” menurutnya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook Mohamad Sabu.
Pada Isnin lepas, Mohamad menerima rawatan rutin di Institut Jantung Negara dan keadaannya dilaporkan stabil.
Pasukan perubatan menasihati beliau untuk berehat berikutan simptom keletihan yang dialami.
-- BERNAMA