KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 yang menekankan reformasi tadbir urus serta penyasaran semula subsidi membuktikan kecekapan pentadbiran kerajaan yang berjaya menghasilkan penjimatan dan dikembalikan terus kepada rakyat.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kesinambungan program bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Bantuan Awal Persekolahan mencerminkan komitmen kerajaan MADANI bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela walaupun dalam fasa penjimatan fiskal.
"Dengan tatakelola dan urus tadbir yang baik, kita dapat kurangkan ketirisan dan pembaziran. Melalui penyasaran semula subsidi, penjimatan ini akan dapat dikembalikan kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata tindakan tegas pihak berkuasa menghalang aktiviti penyeludupan turut memberikan kesan besar terhadap hasil negara, dengan nilai penjimatan mencecah RM15.5 bilion sejak tahun lepas.
"Antara reformasi yang paling besar adalah pendidikan percuma bagi sejumlah pelajar yang menepati kriteria di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kita perlu rujuk kepada teks penuh kerana ada beberapa perkara terkandung dalam teks tetapi tidak disebut dalam ucapan beliau," katanya.
Bagi sektor komunikasi, beliau berkata sebanyak RM2 bilion diperuntukkan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi melaksanakan Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bagi menggantikan Sistem Kabel Rakyat 1Malaysia (SKR1M) yang dibina pada 2012-2013.
"Tujuannya adalah untuk memastikan kesalinghubungan (antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak) terus terjamin. Selain itu, Perdana Menteri turut umum pembangunan sovereign cloud oleh MCMC serta peruntukan baharu bagi penghasilan kandungan kreatif melalui MyCreative Ventures dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS)," katanya.
Fahmi turut menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai bukti keberhasilan reformasi kerajaan yang menyeimbangkan kecekapan fiskal dengan keutamaan sosial.
"Itu mesej utama daripada Belanjawan 2026 ini," katanya.
Belanjawan 2026 bertemakan ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ akan mengumpul dan mengoptimum sumber negara termasuk dana syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) menerusi perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lepas.
Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini berkata ia meliputi RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus (OE) Persekutuan dan RM81 bilion perbelanjaan pembangunan (DE) Persekutuan, serta RM30 bilion pelaburan GLIC, pelaburan awam-swasta (RM10 bilion) dan pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat MKD (RM10.8 bilion).
-- BERNAMA