AM

BELANJAWAN 2026: DANA RM140 JUTA KEPADA INDUSTRI SENI BAKAL LONJAK PELUANG PEKERJAAN

10/10/2025 09:28 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Peruntukan RM140 juta kepada industri kreatif menerusi Belanjawan 2026 disifatkan sebagai pemangkin besar kepada pertumbuhan industri seni tempatan serta bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Pengerusi Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi berkata penyaluran dana itu menunjukkan komitmen tinggi kerajaan dalam memastikan industri kreatif kekal sebagai penyumbang penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain memperkukuh pembangunan ekosistem kreatif digital yang memberi limpahan manfaat kepada ribuan tenaga kerja seni.

“Apabila penerbit buat filem, bukan sahaja pelakon dapat kerja tetapi jurukamera, kru pencahayaan, jurusolek hingga penyedia sistem bunyi turut menerima tempias rezeki. Begitu juga konsert, ia membuka ruang kepada pemuzik, penyanyi dan penggiat teknikal,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Petang tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 berkata kerajaan memperuntukkan RM110 juta sebagai insentif kepada penerbit filem tempatan dan antarabangsa, termasuk RM10 juta bagi kandungan berunsur kenegaraan.

Selain itu, RM10 juta disediakan untuk penganjuran konsert artis tempatan dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, manakala RM20 juta diperuntukkan bagi menyokong ekosistem kreatif digital, khususnya animasi dan permainan digital.

Zed Zaidi turut memuji langkah kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi pembangunan ekosistem kreatif digital merangkumi bidang seperti animasi dan teknologi kecerdasan buatan (AI), yang diyakini mampu menarik minat belia untuk menceburi kerjaya kreatif berasaskan teknologi moden.

“Sekarang bidang kreatif tidak terhad pada pentas atau filem semata-mata. Dengan perkembangan teknologi baharu seperti AI, peruntukan ini akan membantu anak muda membangunkan kandungan animasi dan produksi digital bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata kerajaan turut dicadangkan supaya mempertimbangkan semula peruntukan khusus kepada kebajikan seniman dan karyawan berdaftar melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seni seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Datuk Afdlin Shauki berkata peningkatan dana kepada sektor kreatif kali ini jauh lebih besar berbanding tahun sebelumnya dan amat membantu penerbit untuk terus berkarya dalam keadaan ekonomi mencabar.

“Dana yang diumumkan tahun ini seperti dijanjikan, lebih tinggi daripada sebelumnya dan amat membantu penerbit untuk terus berkarya dalam keadaan ekonomi yang mencabar hari ini,” katanya.

Afdlin berkata peruntukan RM10 juta untuk filem kenegaraan adalah langkah wajar kerana genre berkenaan bukan sahaja mencatat nilai sejarah dan memupuk semangat patriotisme, malah memperkukuh identiti budaya Malaysia di layar perak.

“Filem kenegaraan jarang memberi pulangan komersial, tetapi penting sebagai tanda penghargaan kepada sejarah negara. Filem seperti Mat Kilau membuktikan jika dilakukan dengan betul, dengan bajet mencukupi dan secara profesional, ia mampu berjaya,” katanya.

Beliau berpendapat tumpuan khusus juga perlu diberikan kepada pembinaan infrastruktur produksi lebih kukuh bagi melonjakkan mutu hasil seni tempatan ke tahap antarabangsa.

“Kalau kita ada set seperti istana atau pekan mini yang boleh digunakan semula, seperti di China atau Korea, kualiti produksi kita akan meningkat. Infrastruktur kekal yang lengkap mampu menjimatkan masa dan kos serta membolehkan pembikin filem memberi tumpuan kepada kualiti dan kreativiti,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) Rosmin Hashim berkata insentif RM10 juta untuk penganjuran konsert tempatan dan antarabangsa adalah langkah positif, namun jumlah itu masih kecil berbanding potensi besar sektor berkenaan terhadap ekonomi negara.

“Pelaburan promoter konsert memberi kesan pengganda positif yang besar kepada ekonomi, justeru kerajaan perlu mengambil pendekatan jangka panjang dalam soal penyaluran dana kepada hiburan secara langsung dan industri muzik keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan dana itu perlu dilakukan secara seimbang agar memberi manfaat kepada penganjur konsert artis tempatan dan antarabangsa.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan