AM

PENGECUALIAN CUKAI BAGI SYARIKAT SEKTOR MAKANAN TINGKAT PELABURAN BERIMPAK TINGGI - NAFAS

10/10/2025 10:23 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Pengecualian cukai kepada syarikat melaksanakan projek baharu pengeluaran bahan makanan merupakan pendekatan strategik bagi menggalakkan pelaburan berimpak tinggi sekali gus meningkatkan keterjaminan makanan negara.

Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Muhammad Faris Arriffin berkata dasar itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam menjadikan sektor makanan bukan sekadar berbentuk sosial atau kebajikan sebaliknya bidang pelaburan yang wajar diberikan status setara dengan sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta tenaga hijau.

“Dengan pengecualian cukai penuh, pulangan pelaburan (ROI) dalam projek makanan akan meningkat secara ketara justeru menjadikan Malaysia destinasi tumpuan baharu bagi pelabur domestik dan asing dalam sektor agrimakanan.

"Ia juga dapat menarik pelabur korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), yang mana banyak entiti sebelum ini berhati-hati untuk memasuki sektor makanan, kini boleh mempertimbangkan pelaburan besar-besaran sama ada dalam ladang kontrak, pemprosesan makanan, automasi pertanian, akuakultur atau penternakan intensif," katanya kepada Bernama.

Muhammad Faris berkata insentif lima tahun bagi projek pembesaran juga memberikan ruang kepada pemain sedia ada untuk menaik taraf operasi menerusi automasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) benih serta pengukuhan rantaian nilai hiliran.

Beliau berkata langkah itu sejajar dasar kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran domestik, mengurangkan kebergantungan import dan mengubah sektor pertanian kepada model “didorong keuntungan dengan insentif fiskal" yang lebih mampan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Shamsul Azahari Zainal Badari berkata langkah kerajaan itu bukan sahaja membuka lebih banyak peluang pekerjaan termasuk dalam sektor sokongan seperti logistik, kejuruteraan dan pemasaran, malah turut merancakkan ekonomi tempatan.

“Secara keseluruhan, cadangan pengecualian cukai ini adalah langkah strategik. Dengan pelaksanaan yang bertanggungjawab dan pemantauan yang teliti, ia mampu memperkukuh daya tahan serta keselamatan makanan negara,” katanya.

Shamsul Azahari yang juga Setiausaha Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) berkata insentif cukai itu dijangka menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor makanan kerana ia dapat mengurangkan kos syarikat khususnya pada peringkat awal projek yang memerlukan modal besar.

"Tempoh kelayakan insentif yang dilanjutkan hingga 31 Dis 2030 memberikan masa yang mencukupi kepada pelabur untuk merancang dan membangunkan projek mereka. Ini menunjukkan kerajaan serius mahu membangunkan sektor makanan secara mampan," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 memaklumkan kerajaan bercadang untuk memberikan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun selama 10 tahun kepada syarikat yang melaksanakan projek baharu pengeluaran bahan makanan.

Bagi syarikat sedia ada yang melaksanakan projek pembesaran, mereka akan menikmati pengecualian cukai pendapatan 100 peratus untuk tempoh lima tahun manakala tempoh permohonan galakan cukai dilanjutkan sehingga 31 Dis 2030.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pula menyifatkan peruntukan RM2.62 bilion bagi pelbagai subsidi dan bantuan kepada pesawah dapat membantu golongan itu menampung kos operasi serta meningkatkan hasil pengeluaran padi.

Selain itu, menurut MADA, Projek Pemindahan Air Jeniang melibatkan kos RM1.28 bilion yang akan dilaksanakan tahun depan bakal menambah keupayaan sistem pengairan bagi menyokong peningkatan hasil tanaman padi di Kawasan Muda, iaitu kawasan jelapang padi utama di sempadan Kedah dan Perlis.

“Sebagai langkah ke hadapan, MADA akan terus menumpukan kepada penggunaan teknologi pintar pertanian, pengurusan air yang lebih cekap serta pembangunan modal insan pesawah melalui latihan dan bimbingan berterusan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan