KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 memberi suntikan besar kepada sistem kesihatan negara khususnya dari segi pembangunan, sumber manusia dan pembaharuan perkhidmatan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Belanjawan itu memperuntukkan sebanyak RM46.5 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM), menjadikannya antara peruntukan terbesar dalam sejarah kementerian.
“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang memberikan peruntukan antara terbesar, iaitu RM46.5 bilion,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Lobi Parlimen, hari ini.
Dzulkefly berkata dalam bajet kali ini aspek sumber manusia turut diberi perhatian dengan penyerapan 4,500 doktor kontrak menjelang 2026 serta kenaikan purata 40 peratus elaun on call bagi doktor yang hampir 14 tahun tidak menikmati kenaikan Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP).
“Yang mustahak adalah berkait sumber manusia ... pendekatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II menyuntik semangat petugas, terutama doktor yang sekian lama tidak mendapat kenaikan ETAP, kali ini diberikan,” katanya.
Menteri Kesihatan itu turut mengumumkan hasil kutipan sin tax daripada rokok, alkohol dan produk tembakau sepertimana diumumkan dalam Belanjawan akan dijadikan peruntukan khusus untuk menangani penyakit berkaitan paru-paru dan hati, sesuatu yang menurut beliau belum pernah dilakukan sebelum ini.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan inisiatif baharu Rakan KKM, yang menawarkan perkhidmatan kesihatan lebih peribadi dan pakar, dijangka menerima pesakit pertama pada Disember ini.
“Perdana Menteri pernah bertanya bilakah kita akan lihat pesakit pertama dari Rakan KKM? (Saya jawab) insya-Allah Disember ini,” katanya.
Terdahulu, Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2026 berkata kerajaan memperuntukkan RM46.5 bilion kepada KKM berbanding RM45.3 bilion tahun ini bagi memastikan capaian perkhidmatan yang bermutu, adil dan mampu.
Beliau turut mengumumkan kadar duti eksais ke atas produk rokok dan minuman beralkohol dinaikkan mulai 1 Nov ini, dengan hasil tambahan disalurkan kepada KKM.
Belanjawan 2026 bertemakan ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ memperuntukkan RM470 bilion perbelanjaan awam berbanding RM452 bilion tahun lepas, merangkumi RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion pembangunan, selain pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (RM30 bilion), awam swasta (RM10 bilion) serta Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (RM10.8 bilion).
-- BERNAMA