KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2025 menutup tirai Rabu lepas dengan penekanan terhadap kepentingan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan keperluan tenaga kerja menyesuaikan diri dengan kemahiran masa depan.
Anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), persidangan tiga hari bermula 6 Okt lepas di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini itu menghimpunkan kira-kira 3,000 delegasi, 300 pempamer dan 33 penceramah tempatan serta antarabangsa.
Ketua Eksekutif HRD Corp Dr Syed Alwi Mohamed Sultan berkata tenaga kerja negara kini perlu memberi tumpuan kepada proses belajar semula, penyesuaian, peningkatan kemahiran dan kerjasama bagi mengekalkan kelebihan daya saing dalam era digital.
“Setiap penceramah menekankan bahawa masa depan sedang dibentuk oleh perubahan, teknologi dan bakat. HRD Corp berbangga menjadi peneraju agenda negara dalam peningkatan kemahiran dan pembangunan bakat inklusif supaya tiada pihak ketinggalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata HRD Corp kini berperanan sebagai pemangkin strategik dalam ekosistem modal insan dengan tumpuan kepada pembentukan dasar tenaga kerja dan transformasi industri.
Persidangan itu turut menampilkan tokoh antarabangsa seperti ahli fizik teori Dr Michio Kaku, bekas bintang ragbi Sonny Bill Williams dan juara 13 kali Grand Prix Formula 1 David Coulthard, selain tokoh Malaysia termasuk Datuk Seri Idris Jala, Tan Sri Azman Mokhtar dan Datuk Nicol David.
Segmen BizMatch pula berjaya merekodkan 879 pendaftaran melibatkan 86 penyedia latihan dan 394 majikan dengan nilai keseluruhan RM3.17 juta.
-- BERNAMA