KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan Belanjawan 2026 yang diumumkan hari ini sebagai cerminan komitmen serius kerajaan dalam memperkukuh integriti, membanteras rasuah serta menutup ruang ketirisan hasil negara demi kesejahteraan rakyat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya menyambut baik penegasan kerajaan berhubung aktiviti rasuah, penyelewengan dan ketirisan yang amat merugikan negara.
“Tindakan tegas penguatkuasaan tanpa pilih kasih yang berjaya mengembalikan hasil negara mencecah RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun membuktikan keberkesanan tindakan bersama agensi-agensi penguatkuasaan.
“Sehubungan itu, SPRM amat menghargai langkah kerajaan memperuntukkan lebih RM700 juta bagi memperkukuh keupayaan badan penguatkuasaan termasuk SPRM, khususnya dalam aspek latihan dan perolehan aset,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Selain itu, Azam berkata SPRM turut menyambut baik penggubalan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan serta pelaksanaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal yang merupakan reformasi institusi penting bagi menambah baik sistem perolehan dan memastikan ketelusan dalam pengurusan dana awam.
“SPRM turut menyambut baik cadangan kerajaan untuk meluluskan potongan cukai bagi sumbangan kepada program pencegahan rasuah yang diiktiraf SPRM sebagai projek berkepentingan nasional.
“Inisiatif ini bakal membuka ruang kerjasama yang lebih erat dengan masyarakat sivil dan pihak swasta, seterusnya menggalakkan penglibatan rakyat dalam agenda pencegahan rasuah,” katanya.
Azam menegaskan komitmen SPRM untuk terus melaksanakan mandat secara bebas, telus dan profesional menerusi pendekatan pendidikan, pencegahan serta penguatkuasaan.
“Seiring aspirasi Belanjawan MADANI 2026, SPRM yakin dengan sokongan rakyat, budaya integriti dapat diperkukuh, tatakelola baik dapat dipertingkatkan dan usaha pembanterasan rasuah terus diperkasa demi kesejahteraan dan faedah rakyat,” katanya.
Belanjawan 2026 bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’ memperuntukkan RM470 bilion perbelanjaan awam, merangkumi RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion pembangunan, selain pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (RM30 bilion), awam swasta (RM10 bilion) serta badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (RM10.8 bilion).
-- BERNAMA