AM

BELANJAWAN 2026: PERLUASAN PELEPASAN CUKAI PENJAGAAN ANAK GALAK WANITA DALAM TENAGA KERJA

10/10/2025 10:53 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Cadangan kerajaan dalam Belanjawan 2026 untuk memperluas pelepasan cukai pendapatan individu berkaitan perbelanjaan taman asuhan atau taman didikan kanak-kanak mampu mengurangkan beban kos sara hidup keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Langkah itu juga menyokong penyertaan tenaga kerja wanita serta penjagaan anak secara formal dan selamat.

Pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Amini Amir Abdullah berkata pelepasan cukai itu secara langsung memberi manfaat kepada ibu bapa yang bekerja, khususnya golongan wanita dalam tenaga kerja formal.

Beliau berkata statistik Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita pada 2024 hanya kira-kira 56 peratus berbanding lebih 80 peratus bagi lelaki, dengan beban penjagaan anak tanpa sokongan institusi antara faktor utama mengekang penyertaan wanita.

“Dasar ini menyentuh realiti sosial semasa, ramai ibu bapa masih memerlukan penjagaan selepas waktu sekolah bagi anak-anak di sekolah rendah. Ia juga memperkukuh ekosistem sokongan keluarga moden seterusnya menyumbang kepada keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih sihat.

“Langkah itu juga berpotensi merangsang permintaan terhadap pusat jagaan berdaftar dan berlesen  sekali gus membantu kerajaan mengawal kualiti serta keselamatan pusat jagaan kanak-kanak,” katanya kepada Bernama.

Amini Amir yang juga Pengerusi Jemaah Pengetua Kolej Kediaman UPM berkata inisiatif itu secara tidak langsung akan menggalakkan formalisasi sektor penjagaan tidak berdaftar.

Selain itu, inisiatif berkenaan membantu meningkatkan standard keselamatan dan kebajikan kanak-kanak serta membuka peluang pekerjaan baharu dalam sektor penjagaan awal kanak-kanak.

“Perluasan pelepasan cukai ini langkah positif dan progresif dalam menyokong kesejahteraan keluarga, memperkasakan wanita dan memperkukuh ekosistem pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.

“Namun, keberkesanannya bergantung kepada sejauh mana pelaksanaannya mampu menyeimbangkan kecekapan fiskal, keadilan sosial dan kesaksamaan gender,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan cadangan pelepasan cukai pendapatan individu sebanyak RM3,000 ke atas perbelanjaan yuran taman asuhan atau taman didikan kanak-kanak bagi anak berumur hingga enam tahun diperluas kepada pusat jagaan harian atau pusat transit berdaftar bagi anak berumur hingga 12 tahun, berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2026.

Turut diumumkan, inisiatif kerajaan untuk membela nasib 5,000 ibu tunggal miskin yang memerlukan bantuan guaman bagi penyelesaian kes mahkamah seperti perceraian dan hak penjagaan anak.

Menyambut baik inisiatif itu, Presiden Persatuan Kebajikan Wanita dan Ibu Tunggal (WITUS) Shiella Tukimin berkata langkah berkenaan disifatkan sebagai sinar harapan besar bagi golongan wanita yang sebelum ini tidak mampu menanggung kos peguam bagi kes seperti perceraian, tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.

“Dengan bantuan ini, ibu-ibu tunggal dapat mempertahankan hak mereka di sisi undang-undang tanpa terbeban dengan kos tinggi. Ia bukan sekadar bantuan guaman, tetapi keadilan sosial yang mengangkat martabat wanita,” katanya.

-- BERNAMA


 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan