GEORGE TOWN, 10 Okt (Bernama) -- Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang wanita berhubung anak lelakinya yang pergi ke Thailand untuk bekerja di sana sebelum diculik bulan lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata pihaknya menerima laporan itu di Sungai Dua di sini semalam dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan lelaki tersebut.
"Dia memaklumkan anaknya telah pergi ke negara jiran atas kerelaan sendiri dan bukan dipaksa oleh sesiapa sebelum mendapat ugutan yang anak lelakinya diculik.
"Mangsa yang bimbang keselamatan anaknya bertindak membuat laporan polis semalam dan kami sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan maklumat lengkap perjalanan ke luar negara lelaki itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sebelum ini media melaporkan lelaki berkenaan dikenali sebagai Lai, 25, yang sebelum ini bekerja sebagai kontraktor ubah suai, dipercayai diculik sindiket penipuan kerja di Thailand dan dikawal sepenuhnya sejak pertengahan bulan lepas.
Ibunya yang ingin dikenali sebagai Rose, 52, dilaporkan berkata dia mula berkomunikasi dengan sindiket itu pada 16 Sept lepas setelah menerima mesej meminta wang tebusan bagi membebaskan anaknya dengan ugutan tangan anaknya akan dipotong jika enggan membayar.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata siasatan mendapati lelaki berkenaan tidak pernah ke Thailand atau tiada rekod ke luar negara sejak 21 Okt 2019 namun siasatan lanjut sedang dijalankan.
"Kini polis menjalankan siasatan kes tersebut di bawah Seksyen 347 dan 384 Kanun Keseksaan. Hasil siasatan juga mendapati lelaki itu tidak pernah ke luar negara sejak 21 Okt 2019 dengan kali terakhir dia ke China pada 13 Okt 2019 dan pulang 21 Okt tahun yang sama," katanya dalam kenyataan malam ini.
Sazalee memaklumkan pihak polis akan menjalankan siasatan dari pelbagai sudut dan pihaknya juga menyeru semua badan bukan kerajaan (NGO) atau wakil masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi atau sidang media tanpa merujuk kepada polis atau agensi terlibat.
-- BERNAMA