KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Penawaran jawatan tetap kepada doktor kontrak serta jururawat lulusan Institut Latihan Kementerian Kesihatan (KKM) merupakan langkah signifikan dalam mengekalkan tenaga kerja berpengalaman.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata ia juga membuktikan komitmen kerajaan dalam menjamin kerjaya dan kebajikan golongan itu.
"Usaha ini bukan sahaja menambah bilangan jawatan tetap serta mengurangkan krisis perjawatan, malah memberi manfaat langsung kepada doktor dan jururawat yang terlibat sekali gus memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan negara," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau mengulas pengumuman Belanjawan 2026 berhubung tawaran pelantikan jawatan tetap kepada 4,500 doktor kontrak tahun depan serta jawatan jururawat tetap kepada 935 graduan Institut Latihan KKM.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2026 semalam berkata dari 2023 hingga tahun ini, Kerajaan MADANI telah meluluskan 1,500 jawatan tambahan bagi menyerap doktor kontrak ke jawatan tetap, menjadikan sejumlah 12,900 kontrak diserapkan ke jawatan tetap termasuk pengisian tahunan.
Dr Zainal Ariffin yang merupakan pesara KKM dan aktivis kesihatan awam berkata cadangan seumpama itu juga wajar diperluas kepada kategori lain seperti staf makmal, farmasi dan kesihatan bersekutu bagi memastikan peningkatan berterusan terhadap kualiti serta kecekapan perkhidmatan KKM di seluruh negara.
Sementara itu, Penasihat Persatuan Doktor-Doktor Johor Dr Ng Kim Fong berkata pengumuman tersebut merupakan berita gembira kepada semua petugas kesihatan yang telah lama menantikan kestabilan dalam kerjaya mereka.
"Dengan jawatan tetap, doktor, jururawat dan ahli farmasi akan mempunyai masa depan yang lebih terjamin. Mereka boleh merancang untuk menyambung pengajian bagi membina kerjaya jangka panjang dalam sektor awam, seterusnya mengurangkan kadar brain drain ke sektor swasta atau ke luar negara.
“Pada masa sama, saya berharap semua profesion kesihatan lain termasuk pegawai farmasi, penolong pegawai perubatan dan juruteknologi makmal turut diberikan peluang sama untuk diserap ke jawatan tetap, demi mewujudkan sistem kesihatan awam yang lebih kukuh dan berkualiti," katanya.
Dr Ng yang juga Pakar Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi sebuah hospital swasta berkata beliau turut menyokong langkah kerajaan menaikkan kadar duti eksais terhadap rokok dan alkohol.
"Sebagai pakar kardiologi, saya sentiasa menasihatkan pesakit supaya berhenti merokok kerana ia merupakan punca utama penyakit jantung dan pengambilan alkohol berlebihan juga boleh menjejaskan fungsi hati dan jantung.
"Jadi langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan tabiat tidak sihat, malah menambah dana untuk program pencegahan dan rawatan penyakit kronik di negara ini," kata Dr Ng yang pernah berkhidmat selama 19 tahun di KKM.
Doktor Pediatrik Klinik Pakar Kerajaan Dr Nur Saliyani Musa pula berkata tawaran jawatan tetap untuk doktor dan jururawat menunjukkan kerajaan menghargai sumbangan doktor muda serta mahu menyelesaikan isu ketidakstabilan kerja yang lama berlarutan.
"Petugas yang ada jaminan kerja biasanya lebih bersemangat menjalankan tugas dan ini bagus untuk memastikan rawatan lebih berkualiti. Ia juga memberi motivasi kerana mereka akan nampak masa depan lebih terjamin dari segi kestabilan, faedah dan peluang kenaikan pangkat," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo menyambut baik komitmen berterusan kerajaan terhadap penjagaan kesihatan dengan peruntukan tertinggi pernah dicatatkan iaitu RM46.5 billion.
“Ini mencermin pengiktirafan bagi keperluan untuk memperkukuh sistem seleras dengan Kertas Putih Kesihaan dan kita mengambil maklum pengumuman penting dalam aspek infrastruktur, tenaga kerja serta kerjasama awam-swasta.
“Penawaran 4,500 jawatan tetap untuk doktor kontrak merupakan satu langkah positif yang perlu disusuli dengan perancangan jangka panjang yang rapi bagi peranan kritikal lain dalam sektor kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA