AM

RM2.38 BILION UNTUK NRES PACU PEMBANGUNAN NEGARA SECARA SEIMBANG

11/10/2025 03:48 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Peruntukan sebanyak RM2.38 bilion kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di bawah Belanjawan 2026 mencerminkan kesungguhan kerajaan memacu pembangunan negara secara seimbang dengan pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi masa depan.

Menurut kenyataan NRES hari ini, peruntukan itu meningkat sebanyak 5.3 peratus berbanding tahun 2025, merangkumi RM1.49 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM891.27 juta untuk pembangunan.

Bagi memperkukuh perlindungan flora dan fauna, RM250 juta diperuntukkan di bawah Dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) bagi menyokong negeri-negeri dalam usaha pemuliharaan alam sekitar, termasuk RM50 juta yang akan disalurkan terus sebagai hasil kepada kerajaan negeri.

“Selain itu, RM80 juta disediakan bagi menampung 2,500 renjer komuniti terdiri daripada lebih 1,000 Orang Asli dan hampir 700 veteran, yang akan dilengkapi peralatan rondaan untuk meningkatkan keupayaan melindungi habitat terancam seperti Harimau Malaya, Orang Utan dan Banteng,” menurut kenyataan itu, di sini, hari ini. 

Kerajaan turut menggalakkan penggunaan teknologi hijau dengan memperluas Elaun Cukai Pelaburan Aset Hijau untuk Kegunaan Sendiri sebanyak 100 peratus kepada mereka yang menggunakan produk teknologi hijau buatan tempatan diiktiraf oleh MyHIJAU Mark.

Menerusi Belanjawan 2026, Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS 5.0) bernilai RM1 bilion akan diteruskan sehingga 31 Dis 2026 dengan insentif jaminan kerajaan sehingga 80 peratus bagi sektor sisa dan 60 peratus bagi sektor lain.

Cukai Karbon pula akan diperkenalkan mulai tahun hadapan dengan tumpuan awal kepada sektor besi, keluli dan tenaga.

“Mekanisme pelaksanaannya akan diselaraskan dengan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan serta Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara yang bakal digubal.

“Bagi menggalakkan gaya hidup lestari, pelepasan cukai pendapatan individu sebanyak RM2,500 turut diperluaskan untuk merangkumi pembelian mesin rincih sisa makanan,” katanya.

Dalam sektor pelancongan, lebih RM700 juta disediakan bagi merancakkan industri termasuk RM25 juta untuk pemuliharaan tapak Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) seperti Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak, Lembah Lenggong di Perak dan FRIM Forest Park di Selangor.

“Pulau Langkawi kekal sebagai destinasi geopelancongan utama dengan pembangunan Kilim Geoforest Park, trail kembara Gua Selat Panchor serta geotrail pendakian di Langkawi UNESCO Global Geopark.

“Kerajaan juga memberi perhatian kepada pengurusan sumber dan pembangunan ekonomi hijau melalui peruntukan RM10 juta bagi aktiviti pemetaan sumber nadir bumi dan usaha ini akan dilaksanakan termasuk melalui kerjasama antarabangsa diterajui Khazanah,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan