PUTRAJAYA, 11 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyatakan komitmen penuh untuk melaksanakan program dan inisiatif yang digariskan di bawah Belanjawan 2026 bagi memastikan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terus berkembang serta kekal sebagai antara penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negara.
Dalam kenyataannya hari ini, KUSKOP menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai inklusif, kerana hampir semua kategori usahawan, termasuk PMKS, koperasi, perusahaan sosial, usahawan francais dan usahawan informal seperti penjaja serta peniaga kecil — bakal menerima manfaat. Golongan tumpuan turut merangkumi usahawan bumiputera termasuk Sabah dan Sarawak, wanita, B40 dan anak muda.
“Dalam konteks kementerian, KUSKOP merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana menyediakan peruntukan tertinggi kepada kementerian ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM1.015 bilion pada 2026 berbanding RM815.13 juta bagi 2025, yang menunjukkan pertambahan sebanyak RM200.3 juta atau 24.6 peratus,” menurut kenyataan itu.
Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan program keusahawanan di bawah Belanjawan 2026, KUSKOP berkata pemantauan akan diberi tumpuan khas melalui Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut kenyataan itu, di bawah Belanjawan 2026, nilai keseluruhan RM50 bilion kemudahan pinjaman dan jaminan kerajaan diperuntukkan kepada PMKS, iaitu lebih besar daripada Belanjawan 2025 menunjukkan komitmen besar Perdana Menteri dalam mengangkat PMKS menjadi sebahagian daripada peneraju ekonomi serantau.
“Ia selari dengan usaha bagi menyokong pelaksanaan tahun pertama Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) terutama bagi meningkatkan penskalaan PMKS merangkumi skala pertumbuhan dan daya saing PMKS serta memperkasakan sektor ketiga melibatkan gerakan koperasi, perusahaan sosial dan perniagaan inklusif,” menurut kenyataan itu.
Antara insentif yang dapat dimanfaatkan oleh usahawan PMKS dan koperasi menerusi KUSKOP dan agensi-agensi di bawahnya dalam Belanjawan 2026 ialah RM20 juta disediakan untuk menambah tapak dan ruang niaga yang dilengkapi kemudahan asas kepada peniaga kecil Tamu Desa di Sabah dan Sarawak.
Selain itu, SME Bank menawarkan pembiayaan khusus kepada PMKS halal dengan dana berjumlah RM100 juta, dan lebih RM2.5 bilion pinjaman mikro disediakan di TEKUN Nasional dan juga Bank Simpanan Nasional (BSN).
Sebanyak RM50 juta diperuntukkan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia sebagai dana pembiayaan untuk menyokong perusahaan badan-badan koperasi seluruh negara; dan Program Jaguh Serantau SME Bank menyediakan pinjaman RM200 juta kepada PKS Bumiputera untuk menembusi pasaran eksport.
Menurut kenyataan itu, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) disediakan RM230 juta untuk terus menawarkan pembiayaan dan menjadikan dana AIM yang tersedia berjumlah RM2.9 bilion untuk manfaat lebih 300,000 sahabat usahawan; manakala Bank Rakyat, SME Bank (termasuk BSN dan Majlis Amanah Rakyat (MARA)) menyediakan pembiayaan RM270 juta bagi menyokong usahawan PMKS wanita.
Insentif lain termasuk RM12 juta melalui Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera di bawah SME Corp bagi latihan dan bantuan perniagaan, serta RM9 juta kepada Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS) untuk memperkukuh pembangunan industri francais.
“Secara keseluruhannya, KUSKOP yakin Belanjawan 2026 akan dapat membangunkan sosioekonomi negara melalui strategi pelaksanaan yang berkesan dalam membantu perkembangan usahawan dan gerakan koperasi,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA