AM

MAIDAM RAIH DANA WAKAF HAMPIR RM90,000 MELALUI ‘FUN RUN AND RIDE FOR WAQF 2025’

11/10/2025 05:05 PM

KUALA TERENGGANU, 11 Okt (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjaya mengumpul sebanyak RM89,250 dana wakaf melalui penganjuran program “Fun Run and Ride for Waqf 2025” yang berlangsung di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM Prof Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan berkata ia hasil penyertaan 1,800 peserta pada program edisi kedua yang menggabungkan aspek kesihatan fizikal, mental dan rohani, selari dengan konsep wakaf yang menyeluruh.

Beliau berkata program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dan warga emas. 

"Kami amat bersyukur kerana program ini mendapat sambutan memberangsangkan dan menunjukkan peningkatan penyertaan ketara berbanding 1,200 peserta tahun lepas.

"Ia bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi satu pendekatan mendidik masyarakat agar menjadikan amalan berwakaf sebagai sebahagian gaya hidup," katanya ketika ditemui pada acara pelepasan program itu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Zulkifli Ali dan Yang Dipertua MAIDAM Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail.

Ahmad Azrin berkata acara larian itu merupakan sebahagian daripada sambutan Bulan Wakaf Negeri Terengganu 2025 dengan program kemuncaknya akan dirasmikan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada 23 Okt nanti.

"Kami juga menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada penaja dan rakan strategik yang bersama-sama menjayakan program ini. Sokongan berterusan mampu menjadikan wakaf pemangkin pembangunan ekonomi ummah pada masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan