EKONOMI

MITI PASTIKAN EKOSISTEM MIDA SEDIA LAKSANA KERANGKA INSENTIF BAHARU BERASASKAN KEBERHASILAN MULAI 2026

11/10/2025 05:03 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memastikan ekosistem Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bersedia untuk melaksanakan Kerangka Insentif Baharu Berasaskan Keberhasilan sepenuhnya bagi sektor perkilangan pada awal suku pertama 2026, diikuti perkhidmatan pada awal suku kedua tahun depan.

Katanya kerangka itu akan mengimbangi usaha menarik aktiviti berpertumbuhan tinggi untuk menjana pekerjaan bernilai tinggi dan merapatkan jurang ekonomi antara kawasan sejajar dengan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).

“MITI mengalu-alukan usaha memudahkan urusan pelabur (Investor Pass) dengan kemudahan Visa Kemasukan Berbilang sehingga 12 bulan, inisiatif Residence Pass bagi penarikan bakat strategik secara pantas dan Status Entiti Perniagaan ASEAN.

“Kesemua langkah ini akan dilengkapi oleh Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) yang setakat ini telah dibangunkan di Kuala Lumpur dan Johor oleh MIDA, untuk memudah cara mobiliti bakat mahir dan menyokong pertumbuhan syarikat Malaysia di rantau ASEAN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut MITI, pihaknya juga akan terus menggalakkan pemain industri dan pengeksport untuk memanfaatkan 18 perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia ada termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Terkini, pemuktamadan rundingan FTA antara Malaysia dan Korea Selatan dijangka diumumkan di sela-sela Sidang Kemuncak Ketua Negara ASEAN-Korea Selatan pada akhir bulan ini,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2026 semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1.898 bilion kepada MITI selaras usaha menaikkan siling ekonomi dengan memeta Malaysia sebagai destinasi pelaburan berdaya saing, menggalakkan pelaburan berkualiti dan meningkatkan eksport.

Dalam kenyataan yang sama, menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata peruntukan melalui Belanjawan 2026 mencerminkan kepentingan peranan dari segi pelaburan, pembangunan industri dan perdagangan untuk terus memperkukuh daya saing dan daya tahan ekonomi Malaysia, terutamanya dengan pelbagai cabaran geoekonomi dan geopolitik dunia.

Katanya MITI sentiasa mengutamakan pelaksanaan, termasuk melaporkan tahap kemajuan dan keberhasilan projek melalui Kad Laporan MITI yang dibentangkan setiap tiga bulan.

“Langkah-langkah Belanjawan 2026 di bawah seliaan MITI akan dilaksanakan sebaik dan secepat mungkin, terutamanya bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat serta membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“MITI juga beriltizam memastikan Malaysia terus berada di landasan yang kukuh untuk mencapai sasaran dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia menjelang 2033,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan