AM

PROJEK PEMBANGUNAN 'WATERFRONT' RANGSANG EKONOMI BEBAS CUKAI LABUAN - DR ZALIHA

11/10/2025 06:09 PM

LABUAN, 11 Okt (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pelaksanaan fasa pertama projek pembangunan pantai atau waterfront yang dijangka memberikan rangsangan besar kepada ekonomi bebas cukai Labuan khususnya dalam mengukuhkan sektor pelancongan dan perkhidmatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata dengan status bebas cukai yang dinikmati pulau itu, pihak berkepentingan percaya pembangunan semula kawasan pantai akan meningkatkan daya tarikan Labuan kepada pelabur, pelawat dan perniagaan tempatan, dengan syarat projek itu dilaksanakan dengan berkesan.

Kelulusan projek berkenaan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2026 pada Jumaat. 

Zaliha berkata kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan untuk fasa awal projek menggiatkan semula pantai di sepanjang Pantai Victoria Harbour iaitu di tapak bekas pasar basah di pusat bandar Labuan. 

Projek berkenaan merangkumi laluan pejalan kaki, ruang acara awam, kawasan bazar dan makanan, kemudahan teksi air dan sukan laut, lampu, tempat letak kereta dan infrastruktur sokongan.

Perbadanan Labuan selaku agensi pelaksana pada awalnya menganggarkan kos keseluruhan projek itu mencecah RM38 juta.

Menurut Dr Zaliha projek tersebut bertujuan memacu aktiviti ekonomi, menarik pelaburan swasta, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan profil pelancongan Labuan.

"Ia juga selari dengan Rancangan Tempatan Labuan 2040 dan Pelan Pembangunan Labuan 2030 yang kedua-duanya menekankan pelancongan pintar, pertumbuhan hijau dan kemudahan awam yang lebih baik,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau menyifatkan langkah kerajaan itu sebagai pembangunan positif dan amat diperlukan Labuan. 

"Kemasukan modal ke dalam kawasan pantai Labuan adalah apa yang diperlukan oleh ekonomi tempatan untuk beralih daripada kawasan bebas cukai pasif kepada hab ekonomi bertenaga," katanya.

Beliau berkata pembangunan semula itu akan melengkapkan kelebihan fiskal Labuan sedia ada dengan menambah baik kebolehhunian, pengalaman pengunjung dan keyakinan pelabur.

Dr Zaliha berkata projek itu juga berpotensi menjana manfaat limpahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam sektor hospitaliti, makanan dan minuman, pelancongan air, aktiviti kebudayaan dan perkhidmatan sokongan.

"Jika dilaksanakan dengan betul, projek pembangunan waterfront boleh mentakrifkan semula identiti Labuan daripada pulau bebas cukai yang sunyi menjadi destinasi pantai dinamik yang menampilkan tarikan awam, aktiviti pada waktu malam dan perniagaan tepi laut.

"Peruntukan Belanjawan 2026 adalah permulaan yang memberangsangkan. Apa yang penting sekarang ialah pelaksanaan yang berkesan dan memastikan ekonomi tempatan meraih manfaat maksimum," katanya. 

Beliau berkata kerajaan tetap komited untuk menyokong pembangunan jangka panjang Labuan dan akan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan tempatan untuk memastikan kejayaan projek itu. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan