AM

RAJA MUDA PERLIS SERTAI KAYUHAN SMART MAL

12/10/2025 01:11 PM

PETALING JAYA, 12 Okt (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini berkenan menyertai aktiviti berbasikal bersempena dengan program Kayuhan Smart MAL anjuran Mal Tel Technology Sdn Bhd dengan kerjasama Dahua Malaysia Sdn Bhd di Imazium, Damansara Uptown, di sini.

Baginda menyertai kira-kira 80 warga kerja kedua-dua syarikat itu dalam kayuhan sejauh 13 kilometer, melibatkan beberapa hentian termasuk di Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun, bagi menyemarakkan semangat kebersamaan sekali gus menyampaikan sumbangan daripada Mal Tel Technology.

Ketua Pegawai Eksekutif Mal Tel Technology Simon Yew berkata keberangkatan tiba serta penglibatan Tuanku Syed Faizuddin Putra menyerikan lagi acara itu dan menjadi lambang sokongan padu terhadap usaha memupuk gaya hidup sihat, aktif dan berdisiplin dalam kalangan rakyat.

Program berkenaan, katanya merupakan sebahagian daripada usaha menyokong agenda SMART MAL, yang menekankan nilai Smart, Mindful, Active dan Liveable dalam membentuk masyarakat yang cerdas, sihat serta sejahtera.

“Program ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan aktiviti riadah berbasikal, malah turut memupuk nilai keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga korporat. 

“Melalui inisiatif ini, sumbangan turut disalurkan kepada golongan memerlukan dan institusi pendidikan, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dalam membina masyarakat yang inklusif dan berdaya saing,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program Kayuhan Smart MAL itu. 

Yew berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai wadah penyatuan masyarakat dan penggalak kepada gaya hidup yang lebih sihat dan bertanggungjawab. 

Beliau berkata Mal Tel Technology Sdn Bhd juga komited untuk terus menyumbang kepada pembangunan sosial dan pendidikan melalui penganjuran aktiviti bermanfaat bersama dengan rakan strategik dan komuniti setempat.

Mal Tel Technology ialah syarikat teknologi yang membangunkan sistem pintar dan infrastruktur digital di Malaysia manakala Dahua Malaysia merupakan syarikat keselamatan digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang menawarkan penyelesaian inovatif dalam bidang pemantauan, keselamatan awam dan transformasi bandar pintar.

-- BERNAMA 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan