KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyeru institusi kewangan Islam, untuk mengimbangi penjanaan keuntungan dengan integriti moral dan tanggungjawab sosial, sambil mengingatkan para pemimpin industri bahawa kemajuan sebenar bukan hanya terletak pada penciptaan kekayaan, tetapi juga dalam usaha memperkasakan masyarakat.
Baginda bertitah bahawa keuntungan mesti dicapai dengan tujuan yang jelas, dipandu oleh hati nurani, serta berteraskan nilai-nilai yang membawa manfaat kepada kebaikan bersama.
Sultan Nazrin bertitah bahawa kewangan Islam, yang berasaskan prinsip kekal seperti keadilan, ketelusan, akauntabiliti dan perkongsian risiko mesti kekal dinamik, inklusif dan berpandangan jauh dalam mendepani era transformasi geopolitik, sosial dan alam sekitar.
“Kepimpinan mesti berpaksikan keberanian, kebijaksanaan dan kejelasan moral.
“Kita mesti mengejar keuntungan dengan tanggungjawab dan pertumbuhan dengan keadilan, yang diperkukuh oleh sistem kewangan berasaskan nilai yang memperkasakan masyarakat serta memberi manfaat kepada kebaikan bersama,” titah baginda dalam Syarahan Diraja sempena Majlis Santapan Diraja Forum Kewangan Islam Global (GIFF) 2025, malam ini.
Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Sultan Nazrin bertitah kejayaan industri kewangan Islam tidak harus diukur hanya berdasarkan prestasi kewangan semata-mata, tetapi juga melalui sumbangannya kepada kesejahteraan manusia dan kelestarian alam sekitar.
Memetik kebijaksanaan Ibn Khaldun, baginda bertitah kemakmuran ekonomi mesti sentiasa berpaksikan integriti moral, dan bahawa kepercayaan serta amalan beretika bukanlah pilihan, tetapi keperluan asas bagi perdagangan yang mampan.
Baginda turut menekankan kaitan rapat antara aktiviti ekonomi dan kesejahteraan sosial, dengan menegaskan bahawa pertumbuhan kewangan Islam mesti diterjemahkan kepada kemajuan nyata yang memberi manfaat kepada masyarakat, bukan hanya kepada pemilik modal.
Sultan Nazrin bertitah kewangan Islam berada pada kedudukan yang unik untuk merapatkan jurang antara peluang dan keperluan dan menerusi Pendekatan Perantaraan Berasaskan Nilai (VBI), bank-bank Islam telah menyalurkan hampir RM62 bilion dalam pembiayaan sosial dan RM17 bilion dalam pembiayaan hijau, selain RM184 juta melalui inisiatif berimpak sosial seperti zakat, sedekah, iTEKAD dan wakaf.
Mengenai inisiatif iTEKAD, Sultan Nazrin menyifatkannya sebagai contoh cemerlang bagaimana kewangan sosial Islam dapat memperkasa usahawan mikro dan memupuk ketahanan sosioekonomi.
“Dirangka dengan teliti dan berasaskan tujuan yang jelas, inisiatif ini memanfaatkan instrumen kewangan sosial Islam untuk memperkasakan usahawan mikro dengan menawarkan latihan berstruktur, modal permulaan dan akses kepada pembiayaan mikro. Sehingga Jun 2025, lebih 10,000 peserta telah mendapat manfaat daripadanya.
“Inisiatif ini telah membantu ramai rakyat Malaysia beralih daripada penerima bantuan kebajikan kepada pemilik perniagaan kecil, sekali gus menjana pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan serta menyumbang semula kepada masyarakat melalui zakat dan instrumen kewangan sosial lain.
“Inilah kekuatan sebenar kewangan berasaskan tujuan, iaitu apabila niat baik diterjemah kepada tindakan, kemakmuran akan beredar ke seluruh ekonomi,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut menyeru pembuat dasar, pemimpin perniagaan, dermawan dan inovator untuk membentuk kerjasama serta perkongsian rentas sempadan, bagi memajukan agenda kewangan Islam global yang berprinsip, inklusif dan berimpak tinggi.
“Ketika kita melihat ke masa depan, marilah kita mengakui peranan penting industri kewangan dalam menangani cabaran terbesar dunia, daripada pembangunan infrastruktur dan ketahanan terhadap perubahan iklim, kepada isu penuaan penduduk serta keperluan mendesak bagi inovasi yang inklusif,” titah baginda.
-- BERNAMA