JOHOR BAHRU, 12 Okt (Bernama) -- Kerajaan Johor mengumumkan sebanyak 40,000 keluarga masyarakat India di seluruh negeri itu, akan menerima bakul makanan sempena sambutan Deepavali tahun ini, sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang kerajaan negeri terhadap komuniti berkenaan.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata inisiatif julung kali itu, menunjukkan komitmen kerajaan negeri memastikan kebajikan masyarakat India terus terpelihara.
“Setiap masyarakat India di Negeri Johor, setiap keluarga India akan mendapat bakul makanan sempena Deepavali pada tahun ini. Ini pertama kali kita laksanakan sebagai tanda kasih sayang kerajaan negeri kepada masyarakat India,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Bazaar Deepavali Bangsa Johor di Little India di sini malam ini.
Beliau berkata inisiatif itu turut menggambarkan semangat perpaduan dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap semua kaum di bawah semangat Bangsa Johor, selain melengkapi pelbagai program pembangunan komuniti yang telah dilaksanakan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri K. Raven Kumar berkata keseluruhan 40,000 bakul makanan bernilai kira-kira RM4.9 juta itu, akan diagihkan kepada keluarga India berpendapatan rendah di seluruh Johor.
“Sebanyak 40,000 bakul makanan diagihkan di seluruh daerah negeri dan penyerahannya bermula minggu ini. Ini hasrat Menteri Besar untuk membantu masyarakat India sempena Deepavali,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh berkata setiap bakul bernilai kira-kira RM100, mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung, sardin serta rempah kari khas bagi memenuhi keperluan perayaan.
Raven Kumar berkata pengagihan dibuat menerusi 56 pusat khidmat masyarakat di seluruh negeri dan dijangka selesai sepenuhnya minggu ini.
Terdahulu, Onn Hafiz meluangkan masa beramah mesra dan menyantuni peniaga serta komuniti setempat di karnival bazaar Deepavali itu malam ini.
-- BERNAMA