KUCHING, 13 Okt (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1.9 juta bagi tahun kewangan 2024 kepada Tabung Baitulmal Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata penyerahan zakat itu mencerminkan komitmen TH dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta memastikan manfaat zakat diagihkan secara berkesan kepada penerima.
“Melalui agihan ini, kita berharap lebih ramai asnaf di Sarawak akan mendapat manfaat daripada jumlah yang kita serahkan ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Tahunan Ke-14 Forum Zakat dan Waqaf Sedunia serta Persidangan Antarabangsa 2024 Tabung Baitulmal Sarawak di sini hari ini.
Mohd Na’im berkata TH turut menyalurkan RM1.2 juta di bawah peruntukan CSR tambahan bagi Sarawak yang turut meliputi bantuan pelajar, pembinaan rumah dan sokongan komuniti lain.
Antara program di bawah inisiatif zakat wakalah ialah “Iqra’ TH IPTA” di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berjumlah RM350,000 bagi membantu pelajar asnaf, “Baiti” bagi pembinaan lapan rumah untuk asnaf terpilih (RM800,000) serta “Ehsan Raya” yang memberi manfaat kepada 1,050 penerima asnaf dengan peruntukan RM105,000.
Majlis penyerahan zakat itu diadakan sewaktu kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersempena persidangan berkenaan.
Persidangan kali ini membawa tema “Perintah Zakat dan Wakaf Global Baharu: Penyelesaian Inovatif untuk Cabaran Kontemporari dan Pembangunan Sosioekonomi serta Digital Masa Hadapan”, menekankan kepentingan inovasi dalam memperkukuh peranan zakat dan wakaf sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi serta transformasi digital umat Islam di peringkat global.
-- BERNAMA