DUNIA

ICRC SAH PROSES PEMBEBASAN TAWANAN ISRAEL DI GAZA BERMULA

13/10/2025 03:48 PM

ISTANBUL, 13 Okt (Bernama-Anadolu) -- Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) pada pagi Isnin mengumumkan bahawa proses pembebasan tawanan Israel di Semenanjung Gaza telah bermula sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata.

Menurut laporan, tujuh orang tawanan telah diserahkan kepada pasukan ICRC.

Baki 13 tawanan Israel yang masih hidup dijadual dibebaskan pada 10 malam waktu tempatan dari kawasan tengah Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi. 

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Rabu lalu mengumumkan bahawa Israel dan kumpulan Palestin Hamas bersetuju melaksanakan fasa pertama pelan 20 perkara bagi melaksanakan gencatan senjata di Gaza.

Pelan itu merangkumi pembebasan semua tawanan Israel sebagai pertukaran dengan kira-kira 2,000 tahanan Palestin serta pengunduran berperingkat tentera Israel dari Semenanjung Gaza. Fasa pertama mula berkuat kuasa pada Jumaat.

Fasa kedua pelan pula merangkumi penubuhan badan pentadbiran baharu di Gaza tanpa penyertaan Hamas, penempatan pasukan multinasional dan pelucutan senjata kumpulan itu.

Sejak Oktober 2023, serangan Israel mengorbankan lebih 67,800 penduduk Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menjadikan wilayah itu hampir tidak dapat didiami.

-- BERNAMA-ANADOLU



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan