JENAYAH & MAHKAMAH

EDAR DADAH: BURUH KEKAL DIPENJARA SEUMUR HIDUP, 12 SEBATAN

13/10/2025 03:52 PM

PUTRAJAYA, 13 Okt (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan terhadap seorang buruh, kerana mengedar dadah Methamphetamine yang ditemukan di dalam sebuah kereta yang dipandunya, lima tahun lepas.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Lim Chong Fong, Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, memutuskan demikian selepas menolak rayuan Mohd Jurib Mohamad Naib, 46, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Sungai Petani pada 14 Ogos 2023.

Hakim Lim ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu berkata tiada alasan untuk Mahkamah Rayuan campur tangan dalam keputusan mahkamah terdahulu (Mahkamah Tinggi).

Beliau berkata perayu menafikan bahawa dia mempunyai akses terhadap dadah yang ditemukan di dalam sebuah kenderaan, namun saksi pendakwaan ke-10 (SP10) iaitu adik lelaki perayu dalam keterangannya menyatakan bahawa kereta berkenaan berada dalam pemilikan dan digunakan oleh perayu.

Hakim Lim berkata Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam mendapati responden (pendakwa raya) telah berjaya membuktikan bahawa perayu sememangnya mempunyai milikan dan kawalan ke atas dadah yang dirampas.

“Oleh itu, mahkamah ini mendapati sabitan adalah selamat dan rayuan perayu ditolak,” katanya.

Mohd Jurib dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan selepas didapati bersalah mengedar dadah Methamphetamine seberat 177.51 gram di tepi jalan lampu isyarat Tawar, menghala ke Kuala Ketil, Baling, Kedah pada 4 petang, 14 April 2020, mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, yang mewakili perayu berhujah bahawa bukan hanya anak guamnya mempunyai akses ke atas kenderaan itu kerana kenderaan tersebut didaftarkan atas nama adik lelakinya dan oleh itu, perayu tidak mempunyai kawalan dan jagaan terhadap dadah yang dirampas.

Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim @ Husaini pula berhujah bahawa perayu mempunyai jagaan dan kawalan terhadap kereta berkenaan dan dadah berkenaan yang dijumpai daripada pelbagai bahagian di dalam kenderaan itu.

“Perayu ditahan bersendirian dan keterangan adik perayu (SP10) secara jelas dan konsisten menyatakan bahawa kereta tersebut hanya didaftarkan di atas nama beliau, namun bayaran dan penggunaan sepenuhnya ke atas kereta tersebut adalah oleh perayu memandangkan perayu telah disenarai hitam.

“SP10 menegaskan bahawa beliau tidak pernah menggunakan kereta itu walaupun ia didaftarkan di atas nama SP10. Keterangan daripada SP5, yang merupakan seorang inspektor polis menyatakan bahawa perayu cuba memecut kereta tersebut setelah menyedari SP5 dan pasukan polis mengekori kenderaan dari belakang.

“Apabila kereta perayu dikepung, dia kelihatan cemas apabila SP5 menghampiri dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis,” kata Atiqah.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan