EKONOMI

ISKANDAR INVESTMENT YAKIN BELANJAWAN 2026 MAMPU PACU PERTUMBUHAN EKONOMI SERANTAU

13/10/2025 04:45 PM

ISKANDAR PUTERI, 13 Okt (Bernama) -- Iskandar Investment Bhd (IIB) mengesahkan komitmennya untuk menyokong sepenuhnya Belanjawan 2026 menerusi strategi yang memanfaatkan pertumbuhan ekonomi serantau, mengukuhkan ekosistem bakat, dan mengembangkan inisiatif hijau dan inovasi digital.

Dalam satu kenyataan hari ini, IIB berkata tumpuan kerajaan untuk membangunkan kawasan Johor menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SZ) merupakan langkah strategik dan tepat pada masanya, sekali gus meletakkan rantau itu sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia

Katanya, pelaksanaan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia-Johor (IMFC-J) dan Johor Super Lane (JSL) dijangka mempercepatkan kelulusan pelaburan, meningkatkan kecekapan tadbir urus, dan menyelaras kemudahan diperlukan pelabur, seiring dengan matlamat menjadikan Johor sebagai pintu masuk pelaburan antarabangsa Malaysia yang dinamik.

IIB berkata JS-SEZ telah mencatatkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM37.1 bilion pada separuh pertama 2025, iaitu mewakili 66 peratus daripada jumlah pelaburan Johor.

“Ia mencerminkan keyakinan kukuh pelabur terhadap potensi ekonomi rantau ini, dan Johor muncul sebagai negeri dengan pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan tertinggi di Malaysia bagi tempoh yang sama, berjumlah RM25.5 bilion, iaitu menyumbang lebih satu pertiga daripada jumlah FDI negara pada separuh pertama 2025.

“Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab pelaburan strategik, didorong oleh dasar mesra pelabur, serta kerjasama rapat antara kerajaan persekutuan dan negeri,” katanya.

Menurut IIB, ia akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong pelaksanaan projek berimpak tinggi di bawah JS-SEZ, memastikan bahawa manfaat ekonomi diagihkan secara inklusif kepada rakyat dan masyarakat di sekitarnya. 

Pemaju induk Iskandar Puteri itu turut mengalu-alukan peruntukan Khazanah Nasional Bhd sebanyak RM200 juta untuk melaksanakan Program K-Youth.

Program itu akan menyediakan latihan berasaskan kerja kepada 11,000 belia bukan ijazah dalam sektor strategik, seperti sektor semikonduktor, teknologi digital, kejuruteraan, dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

“Sebagai rakan kongsi pelaksanaan strategik, IIB akan bekerjasama rapat dengan Khazanah Nasional untuk memastikan Program K-Youth dilaksanakan dengan berkesan di Johor melalui pendekatan bersepadu melibatkan pemain industri, penyedia latihan, dan institusi pendidikan dalam ekosistem pembangunan bakat negeri.

“Inisiatif itu melengkapkan usaha Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC), yang diterajui bersama oleh IIB, dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan dan membangunkan laluan kerjaya bernilai tinggi menerusi kerjasama rapat antara pihak akademik dan industri,” katanya.

Selain itu, IIB turut melihat potensi kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengenai kecerdasan buatan (AI) dan inisiatif penyelidikan & pembangunan dan inovasi pengkomersialan (RDCI) di bawah Agenda Inovasi Nasional.

“Kerjasama ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Johor sebagai hab pembangunan digital terkemuka dan pusat bagi inovasi teknologi di selatan Malaysia,” tambahnya.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB Datuk Idzham Mohd Hashim berkata Belanjawan 2026 mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan daya saing ekonomi negara menerusi pendekatan yang seimbang antara pembangunan fizikal dan pertumbuhan modal insan.

“Kami percaya sinergi pelaburan strategi, pembangunan bakat, dan pemerkasaan teknologi hijau akan mempercepatkan kemajuan Johor sebagai hab ekonomi serantau yang berdaya tahan, mampan dan berdaya saing,” tambahnya.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan