KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggalakkan lebih banyak syarikat pengangkutan darat awam dan barangan memanfaatkan kemudahan subsidi petrol di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) melalui platform MySubsidi.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawal Selia Petroleum KPDN Noriqram Mohd Nor berkata inisiatif itu bertujuan memastikan bantuan kerajaan dinikmati secara meluas oleh sektor yang layak.
"Selaras dengan pengumuman penyasaran subsidi RON95, KPDN telah membangunkan SKPS bagi memastikan pemberian subsidi dilaksanakan secara bersasar dan lebih efisien.
"Melalui SKPS, kenderaan industri layak menerima subsidi pada harga RM2.05 seliter, berbanding RM2.60 seliter yang merupakan harga pasaran semasa,” katanya ketika ditemu bual dalam program Bernama Radio, di sini hari ini.
Kira-kira 100,000 kenderaan dianggarkan layak memohon di bawah SKPS, melibatkan sembilan kategori pengangkutan darat awam seperti teksi, bas sekolah dan kereta sewa, serta 12 kategori pengangkutan barangan termasuk lori dan van katering makanan, van kargo dan van rigid (perkhidmatan bergerak).
Kategori baharu yang layak menerima subsidi RON95 adalah sektor pengangkutan awam air, iaitu bot penumpang awam yang berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah atau Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, bagi memastikan subsidi turut dinikmati pengusaha di kawasan pedalaman dan perairan.
"Permohonan telah dibuka sejak 15 Sept menerusi portal rasmi mysubsidy.kpdn.gov.my. Namun, pemohon perlu memastikan kelulusan tertakluk kepada tempoh sah cukai jalan yang perlu dikemas kini sebelum 28 hari bulan setiap bulan," katanya.
Menyentuh mengenai status permohonan, beliau berkata setakat 12 Okt, sebanyak 12,323 syarikat telah mendaftar dan 24,037 kenderaan telah disahkan layak di bawah skim SKPS.
Noriqram berkata pelaksanaan SKPS menggunakan kad digital atau fleet card yang dikeluarkan oleh enam syarikat minyak utama iaitu Petronas, Shell, Petron, Caltex, BHP dan Five, bagi memudahkan pemantauan penggunaan dan mengelak ketirisan serta penyeludupan bahan api.
"Pendekatan ini juga memberi fleksibiliti kepada syarikat pengangkutan memilih sehingga tiga syarikat minyak bergantung pada ketersediaan stesen di kawasan operasi mereka.
"Bagi syarikat yang belum memperoleh fleet card ketika penyasaran subsidi bermula, tuntutan bayaran balik boleh dibuat melalui sistem dengan memuat naik resit pembelian petrol bertarikh 30 Sept 2025 hingga 31 Okt ini untuk pengesahan," katanya sambil memberitahu bayaran akan dikreditkan ke akaun syarikat dalam tempoh 15 hari selepas pengesahan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bantuan KPDN di Putrajaya atau pejabat negeri atau hadir ke kaunter pertanyaan sempena Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan dari semasa ke semasa di seluruh negara.
-- BERNAMA