KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026, yang merupakan belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030), meletakkan asas kukuh terhadap aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai negara digital dan teknologi tinggi (deep-tech) yang berdaya saing di peringkat global.
MIMOS Berhad dalam kenyataannya memaklumkan bahawa peningkatan jumlah peruntukan serta pelaburan bersasar dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), semikonduktor, teknologi hijau dan digital menunjukkan komitmen jelas kerajaan untuk memperkukuh ekonomi negara berasaskan inovasi.
“Walaupun terdapat sedikit pengurangan dalam Perbelanjaan Pembangunan (DE), peningkatan Perbelanjaan Mengurus (OE) akan membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan, bakat baharu dilahirkan, dan ekosistem inovasi negara terus diperkasa,” menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada Jumaat lepas mengumumkan peruntukan hampir RM5.9 bilion bagi memperkukuh sektor AI, merangkumi penyelidikan, pembangunan dan inovasi merentas kementerian.
Sebagai agensi strategik di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), MIMOS memaklumkan pihaknya akan terus berperanan sebagai pemangkin strategik dalam teknologi termaju, dasar inovasi dan pembangunan bakat, dengan bekerjasama rapat bersama pihak berkepentingan nasional untuk memacu masa depan yang inklusif, lestari dan berasaskan inovasi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MIMOS Dr Saat Shukri Embong, berkata penekanan berani kerajaan terhadap penyelidikan, pengkomersialan teknologi serta pembangunan kapasiti digital, termasuk peruntukan RM2 bilion bagi pembinaan infrastruktur Sovereign AI Cloud, mencerminkan hasrat nasional untuk memperkukuh daya tahan ekonomi masa depan.
“Sebagai Pusat R&D Gunaan Negara, MIMOS akan terus menjadi jambatan antara penemuan saintifik dengan aplikasi dunia sebenar, memastikan setiap inovasi yang dihasilkan rakyat Malaysia memberi manfaat kepada industri dan komuniti tempatan,” katanya.
Beliau berkata inisiatif MIMOS termasuk Technology Preview 2025 yang diadakan bersempena ulang tahun ke-40 agensi itu mempamerkan lebih 25 teknologi tempatan dalam bidang semikonduktor, elektronik termaju, inovasi hijau dan kecerdasan kuantum, kebanyakannya selaras dengan keutamaan strategik Belanjawan 2026.
Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi MIMOS, Dr K. Pannirselvam, berkata Belanjawan 2026 menyediakan peluang kepada Malaysia untuk mempercepat penerimaan teknologi dalam industri tempatan, meliputi bidang pembuatan pintar, penyelesaian berasaskan data, tenaga lestari dan bahan termaju.
Ketua Pegawai Strategi MIMOS Ramesh Kumar Nadarajah pula berkata pendekatan perkongsian awam-swasta dalam Belanjawan 2026 mewujudkan kerangka kukuh bagi pembangunan bersama, pengkomersialan dan pelaburan asing dalam sektor teknologi tinggi.
“Inovasi berkembang apabila idea bertemu industri. Peruntukan RM200 juta bagi Dana Pelaburan Bersama Strategik dan RM750 juta bagi pembiayaan syarikat pemula serta usaha niaga membuka ruang baharu untuk kerjasama, sekali gus meningkatkan kelebihan daya saing industri dan daya tarikan Malaysia kepada pelabur global,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial MIMOS, Razman Jaafar, berkata langkah memperluas akses pasaran, memperkemas rangka kerja perdagangan dan peraturan serta memperkukuh keupayaan PKS di bawah Belanjawan 2026 amat tepat pada masanya bagi mendorong pertumbuhan mampan.
Ketua Pegawai Operasi MIMOS Abdul Rashdee Abdul Kadir pula menegaskan kecemerlangan operasi dan disiplin pelaksanaan merupakan kunci bagi memaksimumkan impak pelaburan kerajaan dalam teknologi, sejajar dengan komitmen MIMOS terhadap tadbir urus baik, pelaksanaan berprestasi tinggi dan penciptaan nilai.
Dalam masa sama, Ketua Kakitangan Kumpulan MIMOS, Nurezmy A. Majid, berkata tumpuan kuat Belanjawan 2026 terhadap usaha memperkasa kemahiran, latihan semula dan pembangunan bakat, khususnya dalam sektor berasaskan teknologi tinggi dan inovasi seperti AI, semikonduktor serta teknologi digital — amat bertepatan dengan agenda pembangunan bakat berterusan MIMOS.
“Melalui MIMOS Academy, kami komited menyediakan program latihan semula dan peningkatan kemahiran dalam teknologi termaju, sambil bekerjasama dengan industri dan institusi akademik bagi melahirkan generasi baharu inovator serta penyelidik.
“Dengan peruntukan RM7.9 bilion bagi TVET dan RM3 bilion melalui HRD Corp untuk latihan, Belanjawan ini jelas memperkukuh komitmen Malaysia dalam membangunkan bakat untuk ekonomi berasaskan inovasi.
“MIMOS berbangga menyokong agenda berpandangan jauh ini dengan memperluas peluang kepada rakyat Malaysia untuk menguasai kemahiran digital dan teknologi canggih yang akan memacu inovasi serta meningkatkan daya saing negara,” katanya.
-- BERNAMA