AM

MAXIM LANCAR PROGRAM “DRIVE FOR INCLUSION” BERI PELUANG PEKERJAAN KEPADA PEMANDU OKU

13/10/2025 08:35 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Maxim Malaysia hari ini melancarkan program “Drive For Inclusion”, bertujuan memperkasakan individu berkeperluan khas, termasuk orang kurang upaya (OKU) untuk menjadi pemandu e-panggilan, serta membuka peluang pekerjaan bermakna kepada mereka dalam ekonomi digital negara.

Ketua Pengarah Maxim Malaysia Mohd Hazwan Musley dalam satu kenyataan berkata program itu, menyediakan platform kepada golongan OKU yang berkemampuan, menyertai tenaga kerja dengan menikmati fleksibiliti, kebebasan dan maruah diri.

“Di Maxim, kami percaya mobiliti adalah hak asasi bukan sahaja untuk penumpang, tetapi juga bagi mereka yang menyediakan perkhidmatan. Bakat itu bersifat universal, tetapi peluang tidak sama rata. Drive For Inclusion merupakan komitmen kami untuk mengubah keadaan tersebut.

“Kami bukan sekadar menawarkan perkhidmatan perjalanan, tetapi memacu perubahan, meruntuhkan halangan dan membuktikan bahawa keupayaan sentiasa mengatasi kekurangan. Kami amat berbangga menyambut kehadiran pemandu baharu ini ke dalam keluarga Maxim,” katanya.

Mohd Hazwan berkata Maxim memperkenalkan kadar komisen bersubsidi antara 0 hingga lima peratus, bergantung kepada tahap aktiviti pemandu sebagai sebahagian inisiatif ini. 

Bagi menyokong peserta program, Maxim turut menyediakan talian bantuan khas harian untuk membantu urusan pendaftaran, navigasi dan menyelesaikan isu teknikal dalam tempoh 24 jam, selain rangkaian sokongan rakan sebaya juga diwujudkan bagi membolehkan pemandu berkongsi pengalaman serta amalan terbaik.

Sementara itu, Abd Hashim, antara pemandu terawal menyertai program itu berkata program itu, mula memberi kesan positif kepada komuniti OKU.

“Sebelum bersama Maxim, amat sukar untuk saya mencari pekerjaan. Banyak tempat kerja tidak memahami keadaan saya dan saya bergelut untuk mencari rezeki. Kini, sebagai pemandu sepenuh masa bersama Maxim, saya mempunyai fleksibiliti, kebebasan, dan cara untuk menyara diri.

“Program ini membawa semula kegembiraan dan harapan dalam hidup saya. Ia membuktikan bahawa orang seperti saya masih mampu, dan dengan peluang yang betul, kami boleh berjaya,” katanya yang mengalami strok separuh badan.

Bagi menyertai program ini, proses pendaftaran adalah sama seperti pemandu biasa dengan tambahan pengesahan status OKU yang boleh dilakukan di mana-mana pejabat Maxim atau melalui pengesahan bergambar dalam aplikasi.

Antara dokumen yang perlu disediakan termasuk salinan MyKad, Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang sah lebih setahun, Lesen PSV, gambar berwarna bersaiz pasport, laporan pemeriksaan kesihatan, borang JPJL8A, JPJL12, sijil JPJL2C dan kad OKU.

Selain itu, Maxim turut membangunkan kalkulator pendapatan di laman web rasmi, bagi membantu rakan kongsi mengira sasaran pendapatan serta merancang perjalanan dengan lebih bijak dan berkesan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan