KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) memeterai perjanjian selama tiga tahun yang bertujuan memperkukuh mekanisme promosi pelaburan dua hala bagi kedua-dua negara.
Majlis menandatangani memorandum kerjasama (MoC) itu berlangsung bersempena dengan hari terakhir Expo 2025 Osaka.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata hasil daripada Expo 2025 Osaka dapat menjana petunjuk pelaburan sebanyak RM12.79 bilion dan ia dicapai susulan strategi nasional yang seiring di antara Malaysia dengan Jepun.
"Inisiatif Transformasi Hijau dan Transformasi Digital Jepun melengkapkan dengan sempurna Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP 2030), Strategi Pelaburan Hijau dan Strategi Semikonduktor Negara," katanya dalam satu kenyataan.
Sikh Shamsul menambah MoC memastikan penyelarasan ini diterjemahkan kepada hasil yang nyata bagi perniagaan di kedua-dua belah pihak.
"Penyeragaman dasar ini amat ketara. Jepun yang ingin mempelbagaikan rantaian bekalan dan memastikan sumber tenaga boleh baharu (TBB) selepas peralihan tenaga pasca-Fukushima, melihat Malaysia sebagai alternatif pembuatan kepada China dan pembekal hidrogen yang berpotensi.
"Sementara itu, Malaysia yang berhasrat untuk menarik pelaburan asing berkualiti dan bergerak ke atas rantaian nilai, melihat teknologi Jepun dan modal jangka panjang sebagai kunci untuk mencapai sasaran NIMP 2030," tambahnya.
Sepanjang tempoh enam bulan Expo 2025, MIDA memperoleh petunjuk pelaburan sebanyak RM12.79 bilion yang diterajui oleh Jepun dalam sektor-sektor seperti semikonduktor, TBB, peranti perubatan dan pembuatan maju.
Di bawah kerangka ini, MIDA dan Jetro komited untuk memudahkan misi promosi pelaburan, mengukuhkan hubungan antara syarikat di kedua-dua negara dan menyediakan sokongan kemasukan pasaran secara bersama.
Selain itu, kedua-duanya bertukar maklumat mengenai sektor-sektor yang sedang berkembang dan memperdalam kerjasama dalam projek-projek yang dimulakan di Expo 2025 Osaka.
Jepun merupakan pelabur asing ketiga terbesar Malaysia dalam sektor pembuatan dengan jumlah pelaburan terkumpul yang diluluskan sebanyak RM107.5 bilion setakat ini.
Hampir 3,000 projek pembuatan Jepun mencipta peluang pekerjaan untuk lebih 346,000 rakyat Malaysia terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik, kimia, mesin serta peralatan pengangkutan.
MoC ini berkuat kuasa serta-merta dengan pelaksanaannya diselaraskan melalui pejabat MIDA di Tokyo dan Osaka serta pejabat Jetro di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA