KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Sempena sambutan Deepavali tahun ini, Kumpulan Suria KLCC menyerikan suasana dengan kempen bertemakan ‘Lotus of Light’, bagi meraikan keindahan budaya, perpaduan, dan semangat komuniti tiga pusat beli-belah, iaitu Suria KLCC, Alamanda Shopping Centre dan Mesra Mall.
Menurut kenyataan Kumpulan Suria KLCC, kempen itu berlangsung dari 6 hingga 22 Okt ini bersempena dengan Deepavali yang akan disambut pada 20 Okt.
“Bunga teratai merupakan inspirasi yang sempurna untuk Deepavali tahun ini. Tema ‘Lotus of Light’ kami bertujuan mencipta pengalaman yang imersif dan tidak dapat dilupakan, yang menyatukan orang ramai daripada segenap lapisan masyarakat.
"Bermula daripada hiasan utama yang gah di Suria KLCC sehinggalah kepada sambutan yang bertumpukan komuniti di Alamanda dan Mesra Mall, kami amat berbesar hati mengalu-alukan kedatangan semua untuk berkongsi kegembiraan sempena Deepavali,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd Francis Tan.
Centre Court Suria KLCC bakal bertukar wajah menjadi taman yang menawan berinspirasikan keanggunan bunga teratai dengan hiasan utama ialah bunga teratai gergasi bercahaya, dikelilingi kolam berwarna-warni dan pencahayaan interaktif, diiringi dua kolam teratai berlapis di sisi serta gerbang teratai besar di bahagian belakang untuk peluang bergambar yang menarik.
Pengunjung turut boleh menikmati persembahan tarian klasik Bharatanatyam sepanjang kempen serta menyertai Bengkel Lukisan Inai khas pada Deepavali (20 Okt).
Selain itu, ganjaran eksklusif menanti pembeli Suria KLCC yang berbelanja lebih daripada RM1,000 dalam dua resit akan menerima e-baucar Suria KLCC yang bernilai RM50 serta pembelian e-baucar bernilai RM1,000 di laman web mereka akan melayakkan pembeli menerima e-baucar tambahan RM100.
Di Putrajaya, Alamanda Shopping Centre turut menyemarakkan sambutan dengan dekorasi bertemakan ‘Lotus of Light’ di Centre Court yang menampilkan reka bentuk kolam bunga teratai dan gerbang bunga bercahaya, sempurna sebagai latar bergambar untuk seisi keluarga.
“Alamanda turut meneruskan inisiatif Jualan Pin Reben Hijau bertujuan mengumpul dana dan meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental melalui kerjasama bersama NGO terpilih,” menurut kenyataan itu.
Alamanda juga memberi ganjaran khas kepada pembeli yang berbelanja RM500 ke atas dalam dua resit untuk menerima e-baucar Alamanda bernilai RM30 dan RM1,500 ke atas dalam dua resit untuk menerima e-baucar bernilai RM80.
Di Terengganu, dekorasi di Mesra Mall juga berinspirasikan bunga teratai yang akan menghiasi ruang legar pusat beli-belah berkenaan, mencipta suasana penuh warna dan kegembiraan yang dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
“Sebagai simbol perpaduan, kempen ini menzahirkan komitmen Mesra Mall dalam mengiktiraf dan meraikan kepelbagaian budaya Malaysia supaya semangat Deepavali dapat dirasai oleh setiap pengunjung tanpa mengira latar belakang,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA