AM

BAILEY BRIDGE DI SUNGAI DERHAKA SIAP DUA HARI AWAL, LALUAN DIBUKA HARI INI

14/10/2025 03:41 PM

BUKIT MERTAJAM, 14 Okt (Bernama) --  Jambatan Sungai Derhaka, Jalan Permatang Pauh di sini, dibuka semula untuk laluan kenderaan hari ini selepas kerja pemasangan struktur sementara Jambatan Panel Keluli Bermodular (Bailey Bridge) siap dua hari lebih awal. 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata pemasangan Bailey Bridge itu merupakan langkah mitigasi jangka pendek bagi menggantikan jambatan lama yang dibina pada 1960 selepas ia didapati tidak lagi selamat digunakan.

“Kerosakan pada jambatan asal melibatkan struktur utama seperti penampan (abutment) yang telah mendap dan runtuh, serta terdapat retakan pada papak geladak (deck slab) di bahagian bawah jambatan. 

“Siasatan susulan Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri pada 3 Okt memutuskan bahawa jambatan ini tidak selamat digunakan, maka penyelesaian sementara adalah memasang Bailey Bridge sehingga kita memperoleh peruntukan untuk membina jambatan kekal baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan jambatan tersebut di sini, hari ini.

Beliau memaklumkan kerja pemasangan Bailey Bridge berukuran 12 meter (m) panjang dan 11.2 m lebar itu yang dilaksanakan JKR melalui syarikat konsesi THB Maintenance Sdn. Bhd, menelan kos RM250,000 dengan kerja-kerja dimulakan pada 8 Okt lepas dan dijadualkan siap esok.

Bagaimanapun, Zairil  berkata pemeriksaan oleh JKR semalam mendapati jambatan sementara itu selamat digunakan dan boleh dibuka hari ini untuk kemudahan pengguna.

Beliau berkata laluan FT311 Jambatan Sungai Derhaka itu merupakan laluan Persekutuan bertrafik tinggi yang digunakan pelbagai kenderaan termasuk kenderaan perdagangan, justeru penyelesaian segera amat diperlukan.

Katanya JKR Pulau Pinang telah menghantar permohonan bagi mendapatkan peruntukan untuk membina jambatan baharu kekal dan kini menunggu maklum balas Kementerian Kerja Raya (KKR).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan