Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 14 Okt (Bernama) -- Tambahan peruntukan RM200 juta kepada Dana Pelaburan Bersama Strategik (CoSIF) di bawah Belanjawan 2026 boleh dimanfaatkan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pembiayaan itu membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ, khususnya yang menyumbang kepada pengukuhan ekosistem perindustrian rentas sempadan antara Johor dan Singapura.
“CoSIF juga disasarkan untuk menyediakan peluang kepada PKS berkembang ke peringkat global, terutamanya dalam bidang seperti pengembangan kapasiti, penggunaan teknologi dan kemampanan.
“Usaha pembiayaan ini akan melengkapkan dasar dan insentif infrastruktur yang diperkenalkan di bawah JS-SEZ, memastikan rangka kerja pemboleh yang lebih holistik,” katanya dalam ucaptama pada Forum Pelaburan Bersama JS-SEZ ke-2, yang diadakan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands, di sini, hari ini.
Tengku Zafrul berkata di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), CoSIF akan berfungsi sebagai instrumen pembiayaan utama untuk pertumbuhan industri dalam JS-SEZ.
Menurutnya, CoSIF mempunyai nisbah padanan/perkongsian risiko dan kadar pembiayaan baharu yang dijangka menarik lebih banyak penyertaan daripada sektor swasta dan menggalakkan pelaburan yang lebih baik dalam projek yang selaras dengan matlamat transformasi perindustrian NIMP.
Di samping itu, bagi mempercepat pelaburan berimpak tinggi dalam JS-SEZ, beliau berkata semua projek pembuatan untuk industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti zon itu akan diberikan kelulusan pantas bagi Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh tujuh hari bekerja.
“Surat Tiada Bantahan” (NOL) yang diperlukan daripada kerajaan negeri Johor untuk pengeluaran lesen pengilangan juga akan dikeluarkan dalam masa tujuh hari bekerja.
"Projek yang layak sebegini akan secara automatik menerima kemudahan Johor Super Lane, memastikan pengendalian keutamaan yang diselaraskan di seluruh agensi negeri dan persekutuan di bawah satu saluran pemudahcara," kata Tengku Zafrul.
Beliau juga berkata kerajaan sedang menimbang untuk meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura (MSBDF) bagi membolehkan lebih banyak PKS, terutamanya mereka yang ingin berkembang ke peringkat serantau, mendapat manfaat daripada peluang pembangunan perniagaan bersama.
“Kami menyasarkan untuk memudahkan kerjasama, usaha sama, dan pertukaran teknologi antara perusahaan Malaysia dan Singapura zon itu.
"Kami berharap dapat bersama-sama dengan rakan kami di Singapura untuk meneroka bagaimana mekanisme ini boleh dimanfaatkan dengan lebih baik pada masa hadapan," kata Tengku Zafrul.
Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM650 juta melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) untuk menyokong pembangunan bakat dalam sektor sasaran di bawah NIMP 2030 dengan sebahagian daripada pembiayaan ini dijangka diperuntukkan kepada inisiatif pembangunan bakat bagi JS-SEZ.
Beliau berkata inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 25,000 pelatih, khususnya dalam sektor seperti kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV), dan semikonduktor yang bakal menyokong matlamat industri JS-SEZ.
Menurutnya, MITI tidak lama lagi akan mula bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia, Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC), dan agensi berkaitan lain untuk menyesuaikan program yang sepadan dengan keperluan industri dan menyediakan peluang rentas sempadan dipacu inovasi kepada bakat Malaysia, kata Tengku Zafrul.
Sementara itu, di bawah inisiatif Pas Pelabur yang diteraju Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pelabur asing yang layak kini boleh mendapatkan Visa Kemasukan Berbilang (MEV) yang sah sehingga 12 bulan melalui platform Xpats Gateway, yang dilancarkan April tahun ini.
Beliau berkata inisiatif itu terbuka kepada pelabur baharu, sedia ada dan berpotensi merentas semua sektor dan bertujuan untuk memudahkan perjalanan dan penglibatan, terutamanya semasa perancangan projek dan lawatan tapak.
Selain itu, MIDA kini boleh menawarkan Pas Pelabur secara proaktif kepada syarikat multinasional dan bakal pelabur dalam sektor bernilai tinggi, termasuk elektrik dan elektronik (E&E), serta mereka yang layak di bawah insentif Pejabat Keluarga yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Forum Pelaburan Bersama JS-SEZ yang dianjurkan bersama oleh Singapura dan Malaysia itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Singapura yang juga Menteri Perdagangan dan Industri Gan Kim Yong, dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
-- BERNAMA