GEORGE TOWN, 14 Okt (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang mengenal pasti sebanyak 53 kawasan “hotspot” banjir di seluruh negeri ini, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Beliau berkata kawasan terlibat dikesan mengalami banjir tiga kali atau lebih dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini dengan tertinggi direkodkan di Seberang Perai Tengah melibatkan 18 lokasi.
"Ini diikuti Barat Daya (13), Daerah Timur Laut (10) manakala Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan masing-masing enam kawasan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) di Komtar di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pasca Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Hussain Moh.
Chow berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan 14 projek tebatan banjir melibatkan kos kira-kira RM1 bilion dengan sebahagian besarnya diperuntukkan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata Pulau Pinang juga tidak menerima laporan kejadian banjir besar sepanjang tahun ini, malah hanya RM270,000 daripada RM2 juta bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir dibelanjakan setakat ini.
Chow berkata walaupun demikian, kerajaan tetap bersiap sedia dengan menyediakan 389 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Pulau Pinang untuk menghadapi kemungkinan bencana.
Sementara itu, mengenai pelancaran SDCC, beliau berkata pusat itu yang dikenali sebagai Bilik Gerakan Negeri sebelum ini dinaik taraf sepenuhnya bagi memperkukuh koordinasi antara semua agensi pengurusan bencana, sekali gus menjadi lokasi rujukan utama penyelarasan maklumat serta operasi.
''Sekiranya Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca dalam tempoh dua atau tiga hari lebih awal, SDCC akan mengaktifkan tahap kesiapsiagaan tertinggi dan menyelaras tindakan di lapangan,'' katanya.
Chow berkata penggunaan teknologi digital dan sistem pemantauan seperti kamera litar tertutup (CCTV) turut membantu pihak berkuasa memantau pergerakan tanah serta memberi amaran awal terhadap risiko hakisan serta runtuhan di kawasan cerun.
"Melalui sistem pintar, pemantauan data masa nyata dan integrasi maklumat pelbagai agensi, SDCC yang dinaik taraf dengan kos RM750,000 akan membantu mempercepatkan tindak balas bencana dan mengurangkan impak terhadap nyawa, harta benda serta infrastruktur," katanya.
-- BERNAMA